'Spider Solo' pecah masuk lima di Batu Berendam ditangkap

‘Spider Solo’ pecah masuk lima di Batu Berendam ditangkap

CHRISTOPHER Patit (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian barang kes yang dirampas ketika sidang akhbar di IPD Melaka Tengah, Banda Hilir, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang lelaki digelar ‘Spider Solo’ diberkas polis selepas dipercayai melakukan pecah rumah membabitkan kerugian RM50,000 dalam tempoh lima jam di sekitar Batu Berendam di sini. 

Suspek berusia 38 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumah keluarganya di Kepong, Kuala Lumpur, 8 Jun lalu. 

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek dikesan selepas polis menerima laporan berhubung kes pecah rumah membabitkan lima kediaman di Batu Berendam, hujung Mei lalu.  

Katanya, kesemua jenayah itu dipercayai dilakukan suspek dalam tempoh lima jam dengan melibatkan kerugian RM50,000. 

“Suspek bergerak sendirian dan digelar ‘Spider Solo’ kerana dia telah melakukan jenayah dengan teknik memanjat saluran paip sebelum masuk ke dalam rumah mangsa melalui siling kediaman. 

“Hasil soal siasat, kita percaya suspek telah memecah masuk lima buah rumah yang  dilakukannya dalam masa lima jam membabitkan kerugian RM50,000 pada Mei lalu,” katanya pada sidang akhbar di IPD Melaka Tengah di sini, hari ini. 

Mengulas lanjut, Christopher berkata, suspek merupakan kaki judi dan motif utama dia melakukan jenayah itu adalah bagi melangsaikan hutang ah long selepas kalah dalam perjudian. 

“Suspek merupakan kaki judi dan semua hasil wang tunai yang dicuri telah diserahkan kepada ah long untuk melangsaikan hutangnya, manakala barangan lain termasuk beg tangan berjenama dijual kepada rakan. 

“Kita percaya suspek juga terlibat dalam kes pecah rumah di sekitar ibu negara pada tahun lalu, namun mula mencari habuan di negeri ini selepas jenayahnya itu dihidu pasukan polis di sana,” katanya. 

Katanya lagi, suspek kini direman sehingga esok dan akan didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. 

Dalam pada itu, Christopher turut memberitahu, sejak awal tahun lalu sebanyak 20 individu telah ditahan dan polis berjaya menyelesaikan 49 kes pecah rumah membabitkan jumlah kerugian RM500,000. 

Kesemua suspek terdiri daripada lima kumpulan penjenayah dan dua individu berusia 22 hingga 57 tahun itu diberkas menerusi Op Pintu bermula 1 Januari hingga 22 Jun 2022. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya