ARAU : Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebaik-baiknya diadakan awal tahun depan selepas ekonomi dipulihkan selain menyelesaikan terlebih dahulu isu kenaikan harga barang yang membebankan rakyat.
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia Universiti Utara Malaysia (UUM MAPAN), Dr. Mashitah Mohd. Udin berkata, jika isu-isu yang membebankan rakyat itu tidak diselesaikan, ia mungkin akan memerangkap Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya tersebut.
Katanya, BN sememangnya mempunyai kelebihan jika PRU15 awal diadakan memandangkan pembangkang juga dilihat masih belum ada kesepakatan ketika ini.
“Dijangka memang BN mempunyai peluang cerah jika PRU15 diawalkan berdasarkan beberapa faktor seperti kekuatan jentera dan sebagainya berbanding pencabar mereka (pembangkang) yang dilihat masih bercelaru.
“Tapi, ada syarat mengecapi kejayaan dalam pilihan raya tersebut iaitu apabila isu ekonomi, harga barang dapat diselesaikan terlebih dahulu. Jika tidak, isu-isu ini akan memerangkap BN,” katanya di sini hari ini.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan akan berbincang tarikh PRU15 bersama Perdana Menteri dalam masa terdekat.
Pengerusi BN itu turut menyatakan perjumpaan antara Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama ‘lima teratas’ bagi menentukan pembubaran Parlimen akan berlaku bila bila masa sahaja.
Ismail Sabri pula dilaporkan berkata, beliau akan membincangkan tarikh pembubaran itu dengan lima pemimpin teratas dan Majlis Tertinggi UMNO, selain parti-parti komponen BN.
Tambah Mashitah, pembangkang perlu bekerjasama dalam khemah besar jika ingin menumbangkan BN dalam PRU15.
“Pembangkang ketika ini dilihat hanya kuat di kawasan bandar sahaja manakala kawasan luar bandar masih kurang mendapat sokongan,” katanya. –UTUSAN ONLINE










