Selangor, Johor perlukan sekolah baharu

Selangor, Johor perlukan sekolah baharu

RADZI Jidin memeriksa projek pembinaan bangunan tambahan dan padang SK Putrajaya Presint 18 (2) Putrajaya, hari ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selangor dan Johor di kenal pasti memerlukan pembinaan sekolah baharu berikutan peningkatan mendadak populasi penduduknya.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, tumpuan akan diberikan terhadap kawasan-kawasan perumahan yang semakin pesat membangun.

“Ada beberapa lokasi di Selangor yang telah dikenal pasti dan Johor pun ada kawasan tertentu yang mana jumlah penduduknya meningkat dengan mendadak. 

“Ini kerana pembangunan perumahan yang terlalu cepat, jadi kita ambil pendekatan untuk memberi tumpuan kepada kawasan ini bagi mengelakkan keadaan bila mana perumahan siap tetapi sekolah tidak siap.

“Kita (sudah) hadapi cabaran sebelum ini contohnya di Bandar Saujana Putra, kawasan yang sudah lama membangun tetapi sekolah terbengkalai dalam satu tempoh yang panjang tapi ia telah disiapkan beberapa bulan lepas sekali gus memberi kemudahan yang cukup baik kepada ibu bapa dan anak-anak di situ,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Bangunan Tambahan dan Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 18(2) di sini hari ini.

Sementara itu, menurut Radzi, projek pembinaan di SK Putrajaya Presint 18(2) itu melibatkan dua komponen pembangunan utama iaitu satu blok bangunan bagi 18 bilik darjah dan padang bola melibatkan dua bidang tanah seluas 5.27 hektar.

Dalam pada itu, Radzi memaklumkan, secara purata sebanyak lapan hingga 10 sekolah baharu dibina setiap tahun berdasarkan perbelanjaan pembangunan (development expenditure).

Bagaimanapun katanya, isu kewangan merupakan kekangan utama yang dihadapi dalam pembinaan sesebuah sekolah selain daripada tanah.

“Contohnya di Klang, Selangor ia merupakan kawasan yang paling padat jadi beberapa usaha telah dibuat untuk kita dapatkan sekolah-sekolah baharu di kawasan tersebut, namun begitu di kawasan padat ini kekangan utamanya adalah tanah, tak semua kawasan ini mempunyai tanah yang telah tersedia atau keluasan dan kedudukannya yang sesuai,” ujarnya.

Pada 28 Mei lalu, Utusan Malaysia melaporkan Kementerian Pendidikan akan bertindak lebih awal dengan mengenal pasti lokasi pembinaan sekolah baharu dan tidak menunggu sehingga sesuatu kawasan penempatan itu padat dengan penduduk.

Dalam perkembangan lain, Radzi berkata, pihaknya sentiasa mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kesihatan berhubung situasi penularan Influenza A di sekolah.

“Esok kita akan berbincang lagi untuk melihat keadaan semasa supaya murid dan pelajar dapat hadir ke sekolah dalam keadaan selamat selain memastikan segala tata cara atau proses jika berlaku sebarang kes yang memerlukan tindakan sewajarnya,” katanya.

Semalam, Asrama Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) di Subang Jaya diarah tutup akibat penularan Influenza A dengan seorang pelajar dimasukkan ke hospital.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, setakat semalam, sejumlah 32.5 peratus atau 191 pelajar di sekolah menengah berasrama itu dikesan bergejala jangkitan saluran pernafasan atas seperti demam, batuk, selsema dan sakit tekak.

“Daripada jumlah itu, lima pelajar disahkan positif Influenza A manakala sebanyak 13 sampel lagi masih menunggu keputusan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.