PETALING JAYA: Selepas berjaya menggenggam emas dalam acara lompat bergalah wanita Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam, bulan lalu, Nor Sarah Adi tekad meneruskan kesungguhannya untuk meraih lebih banyak pingat buat negara dalam masa terdekat.
Atlet berusia 22 tahun itu yang bakal membuat penampilan julung kalinya dalam Sukan Universiti Asia (AUG) di Thailand pada 26 Julai hingga 9 Ogos ini, bagaimanapun baru sahaja memulakan semula latihannya selepas berehat dua minggu akibat kecederaan sakit belakang yang dihadapinya, iaitu empat hari sebelum ke temasya sukan dwitahunan itu.
Kata Sarah, dia telah dinasihatkan doktor untuk tidak ke Vietnam akibat kecederaan itu ekoran tempoh pemulihan yang sangat dekat dengan tarikh pertandingan, namun kecekalannya nyata membuahkan hasil yang berbaloi buat Malaysia.
Tegas atlet kelahiran Pahang itu, buat masa ini dia mahu beri sepenuh perhatian kepada acara lompat bergalah sebelum beralih ke acara lari pecut 100 meter bagi menghadapi Kejohanan Terbuka Kazakhstan yang akan diadakan pada 25 dan 26 Jun ini.
“Saya sasarkan emas di Kazakhstan nanti dan setelah itu saya akan ke Terbuka Pahang pula pada 2 Julai ini bagi kedua-dua acara, lompat bergalah dan lari pecut. Jadi buat masa ini, memang saya memperbanyakkan latihan untuk lompat bergalah berbanding lari pecut.
“Perancangan saya selepas habis Terbuka Kazakhstan nanti adalah untuk menyeimbangkan slot bagi kedua-dua acara. Contohnya buat masa ini saya hanya buat latihan untuk acara larian dua kali sahaja seminggu, selepas ini saya akan cuba berbincang dengan jurulatih untuk melakukan tiga kali slot lompat bergalah dan tiga slot juga untuk larian,” katanya.
Sarah yang juga penuntut jurusan Komunikasi Penyiaran di Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, dia belum menghadapi kesukaran untuk mengimbangi waktu latihan dan pelajaran ekoran pembahagian masa yang diaturnya dengan baik.
“Kalau diikutkan, saya mungkin akan habis belajar lewat sedikit berbanding rakan lain kerana saya cuba untuk pastikan waktu pagi adalah masa belajar dan waktu petang hanyalah untuk latihan sukan. Untuk itu, saya perlu ambil sedikit sahaja subjek dalam satu-satu semester,” katanya.
Dalam Sukan SEA edisi ke-31 yang lalu, Sarah muncul sebagai pemenang emas ke-19 buat kontinjen negara dalam acara lompat bergalah wanita, satu kejayaan yang tidak disangka-sangka memandangkan acara utamanya adalah 4x100m wanita. – UTUSAN










