Rohaya perit tinggal anak bersendiri - Utusan Malaysia

Rohaya perit tinggal anak bersendiri

Rohaya Hasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Ibu kepada kanak-kanak yang sebelum ini kritikal akibat kandungan dadah tinggi dalam badan mengakui perit untuk meninggalkan anaknya selepas kejadian tersebut.

Malah, Rohaya Hasan, 36, berjanji tidak akan mengulangi kesalahan tersebut bagi mengelakkan ia kembali berulang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Rohaya berkata, pada hari kejadian dia keluar bagi membeli barangan keperluan anaknya bersama ibu pada waktu tengah hari berbanding sebelah petang sebagaimana kebiasaan yang dilakukan sebelum ini.

Menurutnya, sebelum keluar dari rumah untuk ke kedai, anaknya menangis sambil meronta-ronta kerana mahu mengikut sama tetapi disebabkan cuaca panas, dia ditinggalkan bersama dengan datuknya di rumah sebelum dibawa keluar oleh sepupunya.

“Selepas semua ini berlaku, saya nekad untuk tidak lagi meninggalkan anak. Kejadian itu meninggalkan kesan yang amat mendalam buat saya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Rohaya yang menghidap penyakit kanser payu dara memberitahu, dia bersyukur apabila tahap kesihatan anaknya semakin bertambah baik dan kini sudah dipindahkan ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai petang semalam.

Katanya, kanak-kanak tersebut juga sudah boleh membuka mata dan menggerakkan anggota badan selain dapat minum susu melalui tiub.

“Saya difahamkan, dia akan berada di HSIP selama dua minggu sebelum dibenarkan pulang. Hal ini kerana doktor ingin memastikan anak saya sebelum sepenuhnya,” ujarnya.

Rohaya berkata, dia kini menumpang di rumah ibu bapa bersama tiga anak yang berusia empat hingga 17 tahun, hasil daripada perkongsian hidup bersama tiga suami sebelum ini.

“Saya tidak ada pendapatan tetap, hanya bergantung kepada bantuan anaknya yang diperoleh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan.

“Lagipun sudah lama suami tidak pulang ke rumah. Setiap kali ke hospital untuk rawatan susulan, saya terpaksa meminta wang dari bapa sebanyak RM85 bagi membiayai kos tersebut,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN