ROMPIN: Usaha meredah kebun sawit semata-mata mendapatkan capaian Internet bagi mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) berbaloi bagi seorang pelajar Orang Asli di sini apabila memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rompin, Jeremy Josuazent, 18, memperoleh 9A dalam SPM 2021, sekali gus muncul salah seorang daripada 24 pelajar SPM terbaik dari kalangan masyarakat Orang Asli di negeri ini.
Menurut Jeremy, pembelajaran secara dalam talian begitu penting baginya kerana dapat berinteraksi dengan guru memandangkan tiada kelas secara bersemuka ekoran Covid-19.
“Saya terpaksa berjalan kaki ke kebun sawit untuk mendapatkan capaian internet bagi mengikuti PdPR, maklumlah rumah dalam kawasan kampung.
“Pernah juga saya terlepas PdPR kerana tidak dapat capaian Internet, adakalanya sering tercicir tugasan yang diberikan guru kerana tidak menerima pesanan dari kumpulan Whatsapp akibat tiada talian apabila berada di rumah,” katanya.
Anak kepada nelayan ini berkata, banyak kesukaran yang terpaksa dihadapi dalam tempoh PdPR, bukan sahaja dari segi internet, malah peralatan yang digunakan, namun, segalanya sudah terbalas dengan keputusan diperolehnya itu.
“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada kedua ibu bapa yang banyak membantu saya mencapai keputusan sebegini. Ini juga berkat doa mereka.
“Saya tidak sangka sebenarnya boleh dapat 9A kerana ketika percubaan dahulu saya hanya memperoleh 7A 2B.
“Jasa guru yang mengajar juga tidak akan dilupakan kerana mereka sanggup datang ke rumah hanya untuk menghantar tugasan dan rujukan yang diperlukan,” katanya yang tinggal di Perkampungan Orang Asli Kampung Kemenduk, Kuala Rompin di sini.
Sementara itu, tambah Jeremy lagi, sejak di bangku sekolah, dia berhasrat untuk menjadi seorang pendidik.
“Saya berhasrat untuk melanjutkan pelajaran di Institut Pendidikan Guru (IPG) dan memilih untuk mengajar subjek Sejarah dan Bahasa Melayu,” katanya. –UTUSAN










