KEMAMAN: Pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan di Kilometer 68, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di persimpangan Tanjung Jara, Dungun dekat sini, semalam tidak sempat menyambut kelahiran anak mereka yang keempat.
Anak sulungnya, Mohd. Amirullah Mohd. Abdika, 16, berkata, ibunya, Rabiatuladawiah Saufi, 36, hamil tiga bulan dan dijadualkan bersalin hujung tahun ini.
“Ibu saya ada beritahu, dia mengandung. Saya ingatkan ibu hanya bergurau sebab memang biasa ibu bergurau begitu.
“Kami tahu ibu benar-benar mengandung selepas diberitahu doktor ketika urusan bedah siasat di Hospital Dungun,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di Kampung Pengkalan Binjai, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang, Rabiatuladawiah bersama suaminya, Mohd. Abdika Razali, masing-masing berusia 36 tahun maut selepas motosikal berkuasa tinggi jenis Aprilia RSV4 yang dinaiki mereka merempuh sebuah Toyota Innova di Tanjung Jara, Dungun.

Ketika kejadian, kedua-kedua mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke kediaman mereka selepas menghadiri perhimpunan motosikal berkuasa tinggi di Kuala Terengganu.
Bercerita lanjut, Mohd. Amirullah berkata, Ahad lalu, ibu dan bapanya ada membawa mereka sekeluarga bercuti di Gunung Jerai, Kedah tanpa sebarang persediaan awal.
“Awalnya kami hanya keluar makan di Kuala Terengganu, namun tiba-tiba tanpa apa-apa persiapan, ibu dan ayah ajak kami ke Gunung Jerai, tanpa bawa apa-apa pakaian.
“Tak sangka itu adalah percutian kami sekeluarga yang terakhir,” katanya. – UTUSAN










