MELAKA: Seorang wanita warga emas, Jawi Boyak, 77, sanggup mencari upah mengurut demi menjaga empat cucunya yang masih kecil di Taman Rambai Utama di sini.
Menurut Jawi, dia terpaksa memikul tanggungjawab itu selepas anaknya iaitu ibu kepada kanak-kanak tersebut meninggal dunia akibat penyakit buah pinggang pada 15 Jun lalu.
Katanya, demi memastikan keperluan empat cucu yang masing-masing berusia 6,10,16 dan 17 tahun tidak terabai, dia nekad mengambil upah mengurut dengan pendapatan hanya RM500 sebulan.
“Saya pun ada sakit darah tinggi dan bergantung pada ubat, namun mengenangkan mereka (cucu), saya gagahkan diri untuk bekerja ambil upah mengurut.
“Dalam sebulan dapatlah sekitar RM500 hingga RM600 untuk menampung keperluan hidup kami, termasuk urusan persekolahan mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya selepas sesi ziarah kasih oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Noordin.
Jelas Jawi, bapa kepada anak-anak tersebut sedang menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh, Selangor atas kesalahan membawa masuk pekerja asing tanpa izin (PATI), sejak dua tahun lalu.
Mengulas lanjut, Jawi memberitahu, terdapat beberapa pihak tampil untuk mengambil cucunya sebagai anak angkat.
“Ada yang bertanya cucu-cucu untuk dijadikan anak angkat, namun saya tak mahu pisah adik-beradik ini.
“Saya selalu berdoa agar Allah panjangkan usia, sehingga dapat melihat mereka membesar dengan sihat kerana dua daripada mereka yang berusia enam dan 10 tahun mempunyai masalah jantung,” katanya.
Sementara itu, Kalsom berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menyalurkan bantuan bulanan sebanyak RM600 bagi mengurangkan beban keluarga tersebut.
“Bantuan itu menggantikan bantuan pesakit terlantar sebanyak RM500 sebulan yang diterima arwah ibu mereka sejak 2019.
“Saya juga akan berbincang dengan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) serta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mengenai bantuan yang dapat diberikan untuk memastikan pendidikan anak-anak ini terjamin,” katanya. –UTUSAN ONLINE










