Malaysia mampu wujud institusi ala British Council - Utusan Malaysia

Malaysia mampu wujud institusi ala British Council

SHAMSUL AMRI BAHARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sudah sampai waktunya Malaysia mempunyai institusi khusus ala British Council, kata pakar akademik, Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin.

Katanya, beliau optimis usaha tersebut bukanlah sesuatu mustahil.

Beliau menyifatkan idea itu pernah dicadangkan Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah untuk diwujudkan di beberapa negara negara tertentu sebagai alat diplomasi budaya kepada masyarakat dunia.

Konsep universal British Council sesuai dijadikan sebagai model rujukan dengan ditempatkan atase kebudayaan selaku pegawai perhubungan bertaraf diplomat bagi menguruskan aktiviti.

Kaedah itu ujarnya, sama seperti Tourism Malaysia, Lembaga Pelaburan Malaysia, Education Malaysia atau atase pertahanan di kedutaan tetapi skop tugas lebih fokus diplomasi awam.

Terdahulu, Shamsul Amri hadir meyaksikan pelancaran buku ‘Readings on Malaysia: Selected Essays’ tulisan beliau oleh Saifuddin secara maya di Hotel Zenith Putrajaya di sini hari ini.

Ia bersempena dengan Persidangan The Inaugural Global Malaysia Studies Network (GMSN) buat julung kali anjuran Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Mengulas lanjut, Shamsul Amri dalam nada berseloroh memberi contoh kejayaan makanan popular Jepun yang mampu memberi pengaruh kepada dunia untuk membeli produk mereka.

“Dia (Jepun) hanya ajar orang asing cara makan sushi dan akhirnya kita pula beli kereta Jepun. Begitu juga budaya menyanyi karaoke yang kemudian jadi fenomena global pula,” katanya.

Perkara itu ujarnya secara berjenaka, langsung tidak disentuh pun dalam Dasar Pandang Ke Timur yang diperkenalkan kerajaan pada 1982 lalu yang lebih kepada budaya ilmu dan kerja.

Justeru, beliau melihat kejayaan Jepun secara tersirat memberi pengajaran bagaimana negara itu memberi imej baik dan bangkit maju selepas menyerah kalah pada Perang Dunia Kedua.

Pada masa sama, beliau mendedahkan wujud Malaysia Institute yang ditempatkan di Australia National University di ibu kotanya, Canberra bagi mempromosikan kajian ilmiah.

Institut yang ditubuhkan lebih sedekad lalu dan dibiayai kerajaan Malaysia sendiri bertujuan melahirkan sarjana asing cukup mahir hal ehwal negara ini yang dirujuk sebagai Malaysianist.

“Premis sebegini perlu wujud di banyak negara seperti British Council kerana kita mendapati orang luar lebih yakin ‘cakap’ dari sarjana mereka berbanding orang kita,” jelas Shamsul Amri.

Situasi itu ujar beliau, bukanlah pelik, tetapi Malaysia masih kekurangan rakyat yang juga bertugas seumpama duta kecil mempromosikan kisah positif negara ini kepada rakyat asing.

British Council ditubuhkan sejak 1934 dengan cawangan di lebih 100 negara termasuk dua premis di Malaysia, berperanan mempromosikan budaya dan bahasa Inggeris bertaraf global.

Ia memainkan peranan besar dalam diplomasi budaya British, malahan kejayaan institusi disokong Pejabat Komanwel dan Hal Ehwal Luar Britain itu kemudian ‘ditiru’ oleh banyak negara antaranya Indonesia, Korea Selatan dan Turki yang berjaya mengantarabangsakan misi kebudayaan negara mereka termasuk dari segi bahasa, filem, tarian, makanan dan kesenian. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN