Lelaki cuba terjun kren direman tiga hari - Utusan Malaysia

Lelaki cuba terjun kren direman tiga hari

Anggota keselamatan menenangkan lelaki yang cuba terjun dari kren di tapak pembinaan di Lembah Sireh, Kota Bharu, Kelantan, kelmarin. - IHSAN JBPM KELANTAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU : Seorang lelaki yang cuba bertindak untuk terjun dari kren di tingkat 28 sebuah tapak projek perumahan di Lembah Sireh, di sini berbuat demikian selepas dipercayai menikam isteri dan ibu mentuanya di Chabang Empat, Tumpat kelmarin direman selama tiga hari.

Perintah reman ke atas suspek berusia 27 tahun itu yang bermula hari ini dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Kota Bharu, Nuriza Mustafa di Mahkamah Majistret di sini.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, perintah reman itu dilakukan bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh bangunan yang merupakan tapak projek pembinaan.

Menurutnya, permohonan reman mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu kes mencederakan isteri dan ibu mentuanya akan dijalankan di Mahkamah Majistret Tumpat selepas tempoh reman kes pertama tamat.

Terdahulu, cubaan seorang lelaki untuk terjun dari kren yang berada di tingkat 31 di sebuah tapak projek perumahan di Lembah Sireh di sini dipatahkan selepas ahli keluarga berjaya memujuk mangsa dengan membawa bekalan nasi berlauk ke lokasi kejadian.

Bagaimanapun, anggota balai bomba dan penyelamat Kota Darul Naim serta Kota Bharu mengambil masa selama empat jam bagi memujuk lelaki yang berusia 27 tahun sebelum turun menyerahkan diri.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 6.35  petang dan siasatan awal mendapati kes tersebut dipercayai berpunca daripada perselisihan faham yang berlaku antara suspek dan isteri.

Menurutnya, hasil pemeriksaan yang dilakukan oleh pegawai perubatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) mendapati isteri suspek yang berusia 20-an mengalami retak dan luka di bahagian kepala, patah dua jari serta luka di beberapa bahagian anggota badan.

“Ibu kepada wanita berkenaan yang berusia 60-an pula mengalami luka di bahagian kepala akibat tikaman daripada menantunya.

“Hasil semakan yang dilakukan mendapati suspek yang berusia 20-an mempunyai tiga rekod lampau berkait dengan dadah,” katanya dalam satu kenyataan semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya