Kuarantin sebelum SPM, pasangan kembar tetap cemerlang - Utusan Malaysia

Kuarantin sebelum SPM, pasangan kembar tetap cemerlang

NURUL Fatihana Abdul Rahman (kiri) dan Nurul Fatiha (kanan) bersama ibu mereka, Nor Azlinda Nik Mohd. Noor selepas mendapat keputusan cemerlang dalam SPM 2021 di Kolej Genius Insan (KGI) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai, Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Perlu menjalani kuarantin dua minggu sebelum menjalani peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 merupakan antara cabaran dihadapi sepasang kembar, Nurul Fatihana Abdul Rahman, 18, dan adiknya, Nurul Fatiha Abdul Rahman, 18 dari Kolej Genius Insan (KGI) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai di sini.

Bagaimanapun, cabaran tersebut tidak mengganggu tumpuan mereka berdua sehinggakan kedua-dua mereka berjaya memperoleh keputusan cemerlang dengan Nurul Fatihana memperoleh 8A manakala Nurul Fatiha mendapat 10A.

Nurul Fatiha berkata, mereka berdua terpaksa menjalani kuarantin di dalam bilik di kolej tersebut selepas ada dalam kalangan pelajar yang positif Covid-19.

“Pada waktu itu, memang kami tertinggal banyak kelas, bagaimanapun, kami bersama-sama belajar melalui panggilan video kerana berada dalam tempoh kuarantin dan kami pula tidak dibenarkan ke bilik rakan-rakan dan perlu duduk di bilik sendiri sahaja,” katanya kepada pemberita.

Dia dalam pada itu turut mengakui, pembelajaran secara dalam talian ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sememangnya memberikan kesukaran.

“Memang mencabar dan saya mempunyai kesukaran untuk memahami apa yang diajar oleh pensyarah semasa kelas dalam talian. Bagaimanapun, masalah tersebut tidak boleh dijadikan alasan untuk terus berusaha.

“Sekiranya mempunyai masalah dalam pelajaran, saya biasanya belajar bersama-sama kembar saya dan bertanyakan kepada kawan-kawan lain,” katanya lagi yang mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang Matematik Gunaan. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN