Konsep Keluarga Malaysia dikongsi Persidangan Ulama Asia Tenggara 2022  - Utusan Malaysia

Konsep Keluarga Malaysia dikongsi Persidangan Ulama Asia Tenggara 2022 

IDRIS AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Konsep Keluarga Malaysia merupakan antara intipati yang bakal dikongsikan negara menerusi Persidangan Ulama Asia Tenggara 2022 yang berlangsung Khamis ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Menurut beliau, sebagai tuan rumah, Malaysia juga akan menerangkan tentang nilai-nilai keharmonian dan toleransi berasaskan fiqh al-ta’ayush atau fiqh kehidupan dalam masyarakat majmuk.

“Malaysia akan menerangkan tentang keharmonian yang kita wujudkan iaitu tidak lain dan tidak bukan berpegang dengan ajaran Islam itu sendiri kerana Islam mengajar kita untuk menghormati orang lain dan juga dapat menghormati agama selain kita berkongsi tentang konsep Keluarga Malaysia.

“Mereka memilih Malaysia (untuk persidangan) sedangkan banyak lagi negara lain yang minta, ini kerana Malaysia dianggap sebagai contoh sebuah negara yang mengamalkan fiqh al-ta’ayush bersama masyarakat majmuk,” katanya menerusi sidang media selepas Majlis Perhimpunan Dwi-Bulanan Agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Idris berkata, persidangan selama sehari itu turut mengumpulkan kesemua barisan 14 mufti yang bakal berkongsi lebih lanjut berkaitan fiqh al-ta’ayush.

Katanya lagi, dianggarkan kira-kira 1,000 para ulama dan ilmuan dari 20 buah negara termasuk Kemboja, Thailand, Indonesia, Bangladesh serta Pakistan terlibat dalam persidangan tersebut.

Pada Sabtu lalu, Idris menyambut Setiausaha Agung Liga Dunia Muslim, Sheikh Dr Mohammad Abdul Karim Al-Issa yang tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dari Mekah, Arab Saudi.

Terdahulu, pada majlis tersebut, Idris menyaksikan penyerahan sijil akreditasi MS ISO/IEC 17025: 2017 daripada Jabatan Standard Malaysia kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atas kejayaan Pusat Analisis Halal Malaysia (MyHAC), Bahagian Pengurusan Halal yang memperoleh pengiktirafan di bawah Skim Akreditasi Makmal Malaysia pada 20 April lalu.

Menurut Idris, beliau yakin pengiktirafan itu bakal melonjakkan lagi nama Malaysia dan Jakim selaku badan pensijilan halal yang unggul di dunia kerana Malaysia merupakan negara pertama yang memiliki makmal analisis halal yang diletakkan di bawah pentadbiran kerajaan.

Dalam perkembangan berlainan, Idris menasihati orang ramai supaya lebih berwaspada dengan sebarang tawaran meragukan atau tidak logik membabitkan pakej badal haji.

“Apabila (pakej) yang ditawarkan itu murah, ia menjadi perkara meragukan kerana kita bimbang itu bukan badal haji.

“Kalau ada perkara-perkara meragukan ia boleh diadu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna terutamanya apabila ia melibatkan salah guna dan menganiaya pengguna. Oleh sebab itu, kita nasihatkan supaya pergi kepada Tabung Haji untuk mengetahui lebih lanjut mengenai peraturan-peraturan untuk badal haji,” ujarnya.

Idris mengulas berkaitan dakwaan persatuan pengendali haji dan umrah mengenai penipuan pakej badal haji yang dilakukan oleh pekerja bebas (freelance) dan bukannya agensi-agensi berdaftar.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya