fbpx

Kita sedang ternak ayam daging di sekolah -Sanusi

MUHAMMAD SANUSI MD NOR

ALOR SETAR: ‘Kita sedang ternak ayam daging di sekolah’. Itu sindiran Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berhubung sikap ibu bapa yang terlalu memanjakan anak sehingga sanggup campur tangan dalam soal mendisiplinkan mereka di sekolah.

Kata beliau, suasana institusi pendidikan semakin mencabar ketika ini termasuk dengan peningkatan kes disiplin pelajar di sekolah yang perlu ditangani dengan cara holistik oleh semua pihak termasuk Kementerian Pendidikan.

“Tak boleh denda…murid tak boleh rotan…tak boleh tegur atau marah. Kalau semua tak boleh buat kita sedang ternak ayam daging di sekolah. Tak tau nak cakap…kita tak boleh ternak ayam daging di sekolah.

“Perlu ada tindakan disiplin yang munasabah agar anak murid faham. Takkan nak marah pun tak boleh nak kena masuk mesyuarat bincang dahulu,” katanya pada Majlis Perasmian Bengkel Kerja Pemantapan Pengoperasian Penglibatan Ibu Bapa Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Dalam Pendidikan Sekolah-sekolah Kedah 2022 di sini hari ini.

Katanya, model pendidikan yang digagaskan di peringkat antabangsa perlu disesuaikan dengan suasana sesebuah negara berkenaan.

“Kita kena bina insan yang terdidik dan terlatih dengan semua nilai baik di sekolah. Saya rasa model pendidikan yang digagaskan di peringkat antarabangsa nak diterapkan dalam komuniti di semua tempat, nak disatukan? Saya rasa tak sesuai di dunia ini sebab kita lain-lain.

“Sistem pendidikan Finland, Amerika Syarikat sesuai di negara itu sahaja. Kalau di sana tidak dibenarkan bagi denda kemungkinan dalam masyarakat kita tak sesuai lagi.

“Tak boleh diaplikasikan, takkan satu sistem sahaja untuk satu dunia. Penyatuan sistem pendidikan seperti ini tidak sesuai dengan keadaan di satu tempat itu. Saya rasa kalau sistem pendidikan kita di Malaysia begitu kita sedang mengundang bahaya,” katanya.

Katanya, pendidikan adalah usaha mempersiapkan generasi muda bukan sekadar berkaitan ilmu tetapi norma baik kehidupan.-UTUSAN 

 

 

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!