JEMPOL: Seorang lelaki yang dituduh mencederakan anaknya menggunakan kerusi plastik menjalani pertuduhan di wad Hospital Jempol di sini hari ini berikutan sedang menjalani rawatan sakit jantung.
Tertuduh, S. Mahendran, 49, bagaimanapun tidak mengaku salah sebaik pertuduhan dibacakan dalam bahasa tamil oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Pilah, Norma Ismail.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh pada pukul 8.10 malam pada 17 Jun lalu, dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap M. Yevaanesh, 10, dengan menggunakan tiga kerusi plastik berwarna merah yang disusun rapat di sebuah rumah di Taman Satelite.
Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Norma kemudian menetapkan 25 Julai depan bagi sebutan serahan dokumen dan lantikan peguam.
Pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan namun mahkamah membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan untuk tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwaan Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN










