Keputusan 'flip flop' bukti kerajaan gagal tangani kenaikan harga - Utusan Malaysia

Keputusan ‘flip flop’ bukti kerajaan gagal tangani kenaikan harga

Syed Ibrahim Syed Noh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan perlu menghentikan sikap mengambil keputusan secara ‘flip flop’ berhubung pelaksanaan subsidi dan harga siling dalam menangani kenaikan harga barang yang berlaku ketika ini.

Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, pendekatan dan langkah diambil kerajaan dalam berdepan dan mengawal isu harga barang amat mengecewakan.

Menurutnya, tindakan kerajaan ‘bermain’ dengan subsidi dan harga siling menunjukkan kelemahan serta kegopohan mereka menghadapi isu ini. 

“Amaran krisis harga barang diandaikan oleh pakar kewangan dan pihak lain sebelum ini dengan melihat kepada keadaan ekonomi global dan bekalan barangan yang terlibat.

“Namun, sikap kerajaan, sekejap umum ada subsidi, sekejap tiada subsidi, sekejap umum mansuh subsidi, sekejap umum ditarik semula, sekejap diumum harga siling, sekejap diumum harga siling berubah-ubah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Ahli Parlimen Ledang itu berkata, kesan terhadap polisi yang lemah oleh kerajaan dan agensi terbabit amat besar sehingga menyebabkan rakyat tidak dapat melakukan perancangan dalam pembelian mereka.

“Golongan peniaga dan pembekal terpaksa menukar harga jualan dengan kerap, malah, keadaan akan bertambah teruk jika dibiarkan berlarutan.

“Sehubungan itu, saya menggesa kerajaan menumpukan perhatian terhadap isu ini, punca harga barang tidak menentu di  peringkat global dan masalah di peringkat pembekal perlu dikenal pasti,” ujarnya.

Menurutnya, penyelesaian jitu dan kemas meliputi perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang perlu dirangka dan dibentangkan kepada rakyat untuk kesejahteraan semua pihak.

“Sebagai contoh, jika punca masalah harga ayam datang daripada dedak ayam yang terpaksa diimport, maka, usaha penghasilan dedak ayam tempatan perlu dipergiatkan. Cadangan saudara Rafizi Ramli terkait pendekatan penggunaan stok penimbal untuk barangan berkenaan juga wajar dilihat sebagai langkah kawalan. 

“Selain itu, sebagai kerajaan yang menggunakan slogan Keluarga Malaysia, saya melihat ada baiknya kerajaan melaksanakan pemotongan elaun terhadap Menteri, Timbalan Menteri dan penasihat-penasihat kerajaan yang ramai itu,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN