Kenaikan elaun pembantu Kemas tunggu kelulusan Kementerian Kewangan, JPA  - Utusan Malaysia

Kenaikan elaun pembantu Kemas tunggu kelulusan Kementerian Kewangan, JPA 

MAHDZIR Khalid menyampaikan skrol diploma kepada salah seorang pelajar pada Majlis Konvokesyen Kolej Ketengah Ke-3 Tahun 2022 di Universiti Malaysia Terengganu, Kuala Nerus, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menunggu kelulusan Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menaikkan elaun pembantu taman bimbangan kanak-kanak (tabika) di Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya telah  menyerahkan kertas kerja berkaitan isu elaun pembantu tabika Kemas sebanyak RM500 sebulan kepada kedua-dua pihak tersebut.

Bagaimanapun, katanya, beliau belum mengetahui jumlah kenaikan elaun baharu tersebut sekiranya diluluskan oleh pihak berkenaan.

“Kita berharap agar elaun ini dapat dinaikkan ke satu tahap yang lebih baik selepas ini.

“Tugas pembantu tabika datang untuk membantu masak-masak, tapi kemudian duduk (berada) di situ, dia dah jadi macam cikgu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Kolej Ketengah Ke-3 Tahun 2022 di Universiti Malaysia Terengganu di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 648 graduan menerima diploma dan sijil yang terdiri daripada 404 graduan menerima diploma dan 244 pelajar lagi menerima sijil.

Akhbar sebelum ini melaporkan kira-kira 10,000 pembantu Kemas di seluruh negara masih menerima elaun sebanyak RM500 sebulan di bawah gaji minimum.

Selain itu, Mahdzir berkata, kementerian menggalakan lebih ramai guru tabika Kemas menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

Katanya, langkah tersebut akan memberi lonjakan terhadap pendidikan di tabika Kemas pada masa hadapan.

“Sekarang ini, kebanyakan guru tabika Kemas mempunyai kelulusan diploma. Selepas ini, kami mahu tingkatkan kelulusan tenaga pengajar kepada ijazah,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN