'Kalau saya jadi PM, saya akan risau' -Ahmad Husni - Utusan Malaysia

‘Kalau saya jadi PM, saya akan risau’ -Ahmad Husni

AHMAD HUSNI HANADZLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah memberitahu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak memberikan sebarang ‘respons’ ketika dimaklumkan mengenai pemindahan dana AS$1 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada dua akaun luar negara dan bukannya syarikat usahasama negara.

Sebaliknya, Najib hanya memberitahunya bahawa pemindahan dana sebanyak AS$700 juta kepada syarikat Good Star Limited adalah perlu untuk membuat pembayaran kepada PetroSaudi Limited.

Good Star dikatakan milik penuh PetroSaudi Limited dan didakwa syarikat milik ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan nama Jho Low.

“Apa yang saya tahu, dana tersebut perlu dibayar kepada syarikat usahasama (JVCo 1MDB-PSI). Tetapi saya difahamkan duit tersebut telah diberikan kepada Good Star. Walaupun Najib pernah beritahu saya jangan masuk campur, tetapi saya ada berjumpa dengannya beberapa kali dan bertanya mengenai 1MDB.

“Bila saya tanya Najib kenapa bayar kepada Good Star, Najib kata sebab perlu bayar kepada PetroSaudi.

“Kalau orang lain, akan timbul terus rasa risau kerana ia membabitkan bon kerajaan tetapi beliau (Najib hanya diam sahaja),” kata Ahmad Husni.

Peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kemudian menyatakan, bukan ‘tugas’ Najib untuk mengambil tindakan sebaliknya Lembaga Pengarah 1MDB yang sepatutnya bertindak.

Ahmad Husni: Tetapi Datuk Seri Najib tak pernah risau mengenainya. Saya jumpa beliau (Najib) beberapa kali tetapi masih tiada tindakan.

Muhammad Shafee: Mana awak tahu Najib tak ambil tindakan?

Ahmad Husni: Kalau beliau ambil tindakan, kenapa perlu tunggu sehingga 2016 baru nak pecat Shahrol Azral (bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi) dan lantik Arul Kanda (pengganti Shahrol Azral)?

Muhammad Shafee: Najib tidak boleh buat keputusan sendiri walaupun dia Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB. Beliau masih perlu melalui syarikat sebelum buat tindakan.

Ahmad Husni: Kalau Lembaga Pengarah tak ambil tindakan, Perdana Menteri ada kuasa untuk melantik atau memecat mana-mana ahli pengurusan 1MDB. Mereka (1MDB) pinjam duit daripada bon yang dijamin oleh kerajaan. Jika apa-apa berlaku, kerajaan perlu bayar pinjaman dan ini akan beri kesan terhadap bajet negara.

Terdahulu, Muhammad Shafee dan Ahmad Husni kembali ‘bertikam lidah’ apabila peguam itu mempersoalkan mengenai surat yang dihantar bekas menteri itu kepada Najib.

Pada prosiding sebelum ini, Ahmad Husni memberitahu pada 23 Ogos 2010, beliau telah menghantar surat peribadi kepada Najib melalui Setiausaha sulit bekas Presiden UMNO itu, Allahyarham Datuk Azlin Alias bagi menyuarakan kebimbangannya mengenai urusan syarikat 1MDB yang boleh mengundang kontroversi dan boleh menjejaskan kerajaan dan Najib.

Muhammad Shafee: Najib beritahu awak tak pernah tulis surat dalam bahasa Inggeris dan awak hanya tulis dalam bahasa Malaysia.

Ahmad Husni: Itu surat kepada Menteri Kewangan, jadi mestilah guna bahasa kebangsaan. Surat yang awak tunjuk adalah surat peribadi daripada saya kepada Najib.

Muhammad Shafee: Awak kata berikan surat kepada Azlin, kenapa awak tak suruh Najib ‘acknowledge‘ (sahkan penerimaan)?

Ahmad Husni: Biasanya selepas saya berikan surat, saya akan terus ‘walk away‘ (berlalu pergi).

Muhammad Shafee: Jadi awak tak tahulah sama ada Najib terima atau tak surat awak.

Ahmad Husni: Kalau tak terima, tak terimalah, apa masalah awak? Maknanya pegawai beliau (Najib) tak efisienlah.

Muhammad Shafee: Sama dalam perbicaraan SRC International dan sekarang dalam perbicaraan ini, kalau buat salah, akan letakkan kesalahan pada orang yang dah mati.

Ahmad Husni: Jangan menjerit. Awak yang meletakkan kesalahan pada orang lain.

Muhammad Shafee: Saya bukannya menjerit, saya cuma bercakap (dengan nada) kuat. Saya kena cakap kuat supaya semua dengar sebab ada benda ini (sambil mengetuk penghadang lutsinar). Sri Ram (Timbalan Pendakwa Raya adhoc, Datuk Seri Gopal Sri Ram} cakap lagi kuat.

Ahmad Husni: Sri Ram…Sri Ram lah. Saya cakap awak, bukan Sri Ram.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya