e-hailing: 40 laporan dibuat masih ‘sepi’ - Utusan Malaysia

e-hailing: 40 laporan dibuat masih ‘sepi’

Kamarudin Hussain
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyatuan Pemain Industri Pengangkutan Darat Malaysia (PPDM) masih menunggu jawapan laporan dikeluarkan dan tindakan daripada Kementerian Pengangkutan berhubung soal kebajikan pekerja e-hailing dan p-Hailing.

Seramai 120,000 pekerja gig ekonomi kini terhimpit dengan kadar upah yang diterima tidak menentu seperti yang mereka peroleh sebelum ini dan caj sehingga 20 peratus dikenakan setiap penumpang dianggap tidak munasabah.

Tuntutan PPDM adalah kementerian membentuk sebuah agensi yang akan mengawal selia syarikat e-hailing sekaligus mewujudkan satu kesatuan dimana aduan mudah disampaikan dan ketetapan kadar caj upah lebih jelas.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Ketua Aktivisnya, Kamarudin Hussain berkata, dalam tempoh empat tahun isu ini dibangkitkan, masih tiada maklum balas yang sedih atau gembira, malah, hanya dibiarkan sepi tanpa khabar.

“Masalah ini berlarutan dari 2018, pelbagai demonstrasi sudah dibuat,mustahil mereka tidak melihat keperihan kami, mereka perlu ada usaha untuk turun padang dan bantu rakyat sendiri, ini bukan perkara baru yang memerlukan laporan.

“Kami diibaratkan seperti bola, empat tahun lepas sehingga kini, 40 surat rayuan dan aduan diberikan kepada kementerian dan masih dalam keadaan tanda tanya dalam tuntutan isu rakyat ini,” katanya,

Tambah Kamarudin, dia akan teruskan usaha mendapatkan bantuan daripada Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sekiranya kementerian itu mampu membantu sedikit sebanyak akan hal ini.

“Laporan yang dibuat sebelum ini melibatkan Suruhanjaya Persaingan (MyCC), Kementerian Pengangkutan (MOT) dan juga beberapa menteri, kesemua mereka masih tidak membalas respon kami ini.

“Kami akan hantar surat kepada KPDNHEP agar mereka mendengar rintihan kami ini, kalau boleh saya mahu berhubung secara terus dengan menteri agar isu ini cepat diselesaikan.

Mengulas lanjut tentang isu ini, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata masih tiada laporan berhubung e-hailing di dalam kementeriannya.

“Tiada aduan diterima berkaitan isu e-hailing ini, dan saya tidak pernah dengar dibincangkan di dalam mesyuarat, jika ada pasti saya akan kenalpasti isu ini.
Tambahnya, jaminan bantuan tidak dapat diberikan kepada pekerja e-hailing dan p-hailing selagi tidak dibincangkan di meja mesyuarat dan mengetahui masalahnya yang sebenar.

“Saya tidak boleh janjikan jaminan untuk masa sekarang kerana ianya tidak dibincangkan pada kami, saya tidak boleh membuat keputusan secara melulu tanpa berbincang,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN