Penduduk berdepan hakisan, tanah jerlus

Penduduk berdepan hakisan, tanah jerlus

MD. Rosli Ibrahim menunjukkan tanah runtuh dan kesan jerlus yang didakwa terbiar sejak lebih tiga bulan lalu di Jalan Kelisa Ria 5, Taman Kelisa di Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Lebih 40 keluarga di Jalan Kelisa Ria 5, Taman Kelisa di sini bimbang dengan kejadian tanah jerlus yang menyebabkan jalan di kawasan perumahan mereka semakin tidak selamat untuk dilalui.

Dakwa penduduk, hakisan tanah yang menyebabkan kejadian itu dikesan berlaku sejak tiga bulan lalu, namun hingga kini belum ada tindakan pembaikan dilakukan oleh pihak berkaitan. Hakisan dan mendapan tanah berhampiran tapak loji kumbahan itu dilaporkan semakin serius berikutan hujan lebat kebelakangan ini.

Seorang penduduk, Md. Rosli Ibrahim, 47, berkata, dia pernah membuat laporan kepada pihak berkuasa tempatan lebih sebulan lalu namun sehingga kini tiada tindakan diambil.

“Melihat kepada kesan runtuhan yang meliputi lebih empat meter lebar dan tiga meter dalam itu sekarang, kami melarang kanak-kanak bermain atau melalui jalan itu kerana boleh membahayakan mereka.

“Namun apa yang membimbangkan ialah orang luar yang melaluinya terutama pada waktu malam kerana mereka tidak menyedari jalan berkenaan semakin mengecil ekoran tanah di bahagian bawah telah mendap,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Seorang lagi penduduk, Rosinah Lajid, 61, berkata, pihak berkaitan sepatutnya lebih peka terhadap aduan penduduk dan segera melakukan pembaikan bagi mengelakkan risiko lebih besar.

Katanya kejadian itu mungkin berpunca daripada aliran air buangan rumah penduduk yang disalurkan melalui longkang besar di kawasan tersebut.

“Longkang itu sepatutnya diselenggara secara berkala terutama ketika musim hujan bagi memastikan aliran air tidak tersumbat,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd. Syazwan Ali, 40, berkata walaupun jalan itu bukan laluan utama namun kelewatan pembaikan boleh mengundang bahaya kepada pengguna lain.

“Penduduk berharap pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan segera membaiki runtuhan tanah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini dan mengurangkan risiko kerosakan lebih besar pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×