BATU PAHAT: Diejek dan dipulau kerana berketurunan Orang Asli.
Itu antara penderitaan emosi yang terpaksa dilalui remaja Orang Asli ketika di bangku sekolah.
Bagaimanapun, ejekan itu tidak mematahkan semangat mereka, malah dijadikan perangsang untuk bangkit membuktikan mereka mampu berdiri sama tinggi dengan masyarakat lain di negara ini.
Seorang remaja Orang Asli berketurunan Orang Kuala Laut, Mohammad Dhanish Dhanieall Hairul Anwar, 18, berkata, tekanan diterimanya seperti diejek ketika sekolah rendah menjadi pemangkin semangat untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajaran sehingga dia berjaya mencapai keputusan 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.
Pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Sardon di sini berkata, meskipun berdepan cabaran apabila terpaksa mengikuti kelas secara dalam talian ekoran pandemik sebelum ini, namun itu bukanlah alasan untuk dia gagal.
Sebaliknya, anak bongsu daripada tiga beradik itu memberikan tumpuan sepenuhnya apabila sesi persekolahan mulai dibuka.
“Saya akui sedikit ketinggalan apabila perlu belajar secara dalam talian, banyak yang saya kurang faham. Namun, setelah diumumkan pembukaan sesi persekolahan, saya mengambil peluang untuk belajar bersungguh-sungguh.
“Saya banyak bertemu guru jika kurang faham selain mengadakan ulang kaji berkumpulan dengan rakan-rakan sekelas.
“Alhamdulillah, pengalaman dahulu ketika di sekolah rendah membuatkan saya nekad untuk membuktikan bahawa anak Orang Asli juga mampu berjaya seperti orang lain,” katanya ketika dihubungi.
Mohammad Dhanish berkata, selain itu kehilangan ayah tercinta pada tahun 2020 menyebabkan dia nekad untuk memastikan arwah bapa bangga ekoran pesanan orang tuanya supaya sentiasa mengutamakan pelajaran sekiranya mahu dipandang tinggi dan berjaya.
Dalam pada itu, rakannya, yang juga pelajar terbaik masyarakat Orang Asli, Muhammad Yassin Awaluddin Nadim menyifatkan kejayaan tersebut tidak mudah untuk dicapai
Dia yang memperoleh 7A bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pengajian Islam, Sejarah, Matemik, Geografi dan Tasauf Islam.
Dia turut memperoleh keputusan cemerlang bagi mata pelajaran Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi juga berterima kasih kepada semua pihak terutamanya ibu bapa, guru-guru dan rakan-rakan yang memberikan sokongan dan dorongan kepadanya.
Menurut Muhammad Yassin Awaluddin, sepanjang sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) pada tahun lalu ketika Covid-19, pembelajaran sering terganggu disebabkan capaian internet yang lemah di rumahnya di Kampung Bumiputera Dalam Mukim, Mukim 12, Rengit.
“Saya tidak mempunyai laptop atau komputer riba, hanya bergantung sepenuhnya dengan telefon bimbit bagi mengikuti PdP. Adakalanya saya gagal untuk mengikuti kelas Zoom dan Google Meet.
“Oleh itu, saya bergantung dengan bahan-bahan latihan yang disediakan oleh guru-guru sebagai ganti kerana tidak dapat mengikuti kelas yang diberikan pada ketika itu,” katanya.
Muhammad Yassin Awaluddin menganggap cabaran itu sebagai dorongan untuk terus berjaya walaupun berdepan dengan kesukaran bagi mengikuti pembelajaran secara bersemuka.
“Saya ingin mengikuti jejak abang saya, Muhammad Said Nizamuddin 22, yang memperoleh 7A dalam peperiksaan SPM pada tahun 2018,” ujar anak keempat daripada enam beradik itu.
Memandangkan dia mengambil aliran sains tulen, banyak perkara yang tidak difahami dan rakan-rakan sekelas serta guru-guru yang membantunya bagi mengatasi kelemahan itu.
Dia berkata, kejayaan memperoleh keputusan 7A merupakan rentetan kejayaan semasa Peperiksaan PT3 apabila dia mendapat 5A, 2B dan 2C walaupun dalam serba kekurangan.
Ditanya adakah dia merasa rendah diri sebagai masyarakat Orang Asli, Muhammad Yassin Awaluddin tidak menganggapnya sebagai satu kekurangan, sebaliknya pelajar boleh berjaya jika rajin berusaha.
Mengenai perancangan selepas ini, dia akan membuat permohonan mengikuti pengajian matrikulasi atau di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang sains tulen yang digemari.
Sementara itu, bapanya, Nadim Bidin, 58, bersyukur kerana anaknya telah memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM tersebut.
Dia dan isterinya, Zabedah Japri, 54, hanya mampu memberikan sokongan dan galakkan supaya anaknya itu boleh berjaya seperti abangnya, Muhammad Said Nizamuddin yang akan bergelar pendidik tidak lama lagi.
Sebagai seorang nelayan, dia berharap anak-anaknya dapat berjaya dalam bidang pelajaran sehingga menjejakkan kaki ke menara gading bagi membela nasib keluarganya pada masa depan. –UTUSAN ONLINE










