BUKIT MERTAJAM: Seorang rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan atau ‘scammer’ di Kemboja dilaporkan kini berada dalam keadaan tertekan dan pernah menyatakan hasrat untuk membunuh diri.
Lebih malang, mangsa juga mendakwa dia dan organ dalamannya akan dijual jika gagal menyerahkan wang tunai sebanyak AS$15,000 atau RM66,360 selewat-lewatnya esok (15 Jun) sebagai ‘pampasan’ untuk ‘membebaskan’ diri daripada majikannya di sana.
Perkara itu didedahkan abang mangsa, Tay Poh Heng, 43, dalam pertemuan dengan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim di sini untuk mendapatkan bantuan dengan ditemani ibu mereka, Khor Cha Bo, 68.
Menurut Poh Heng, adiknya, Tay Poh Chai, 39, sebelum itu nekad ‘berhijrah’ ke Kemboja sejak Disember lalu bersama rakannya selepas terpedaya dengan tawaran gaji lumayan iaitu antara RM8,000 hingga RM9,000 untuk berkhidmat dalam industri perjudian di sana.
Katanya, Poh Chai yang juga anak bongsu daripada tiga beradik itu membuat keputusan berkenaan selepas gagal mendapat pekerjaan di sini walaupun hasratnya untuk ke negara tersebut tidak dipersetujui oleh ibu mereka.
Bagaimanapun, katanya, selepas berada di sana, Poh Chai tidak banyak berkomunikasi dengan keluarganya di Malaysia sehingga dia memaklumkan telah dikurung oleh majikannya pada 28 Mei lalu dan mereka turut meminta wang ‘tebusan’ sebagai ganti.
Sehubungan itu, kata Poh Heng, satu laporan polis turut dibuat pada hari yang sama kerana bimbang akan nasib yang akan menimpa adiknya di Kemboja.
“Kami tak tahu (sama ada Poh Chai pernah menerima gaji sepanjang bekerja di sana atau tidak). Tapi dia selalu cakap tak boleh hantar (duit). Kita minta untuk tolong simpan tapi dia selalu cakap tak boleh.
“Sebelum ini pun jarang komunikasi. Kalau komunikasi pun dia akan cakap ‘ok’, tak ada masalah. Bos (majikan) pun ada belanja makan. Cuma pada 28 hari bulan (Mei) itulah baru dia beritahu ada masalah,” katanya kepada pemberita.
Dalam pada itu, Sim memberitahu, Poh Heng dan Cha Bo datang berjumpa dengannya sejak semalam kerana buntu untuk mendapatkan wang pampasan tersebut kerana lelaki itu hanya bekerja sebagai penjual bihun manakala ibunya tidak bekerja.
Justeru, Sim berkata, sebaik sahaja menerima maklumat mengenai Poh Chai, beliau terus menghubungi Menteri Luar, Datuk Saifudin Abdullah untuk memaklumkan perkara tersebut dan diberitahu kedutaan Malaysia serta pihak berkuasa di sana akan mengambil tindakan segera untuk menyelamatkan mangsa serta mereka yang turut menjadi mangsa penipuan pekerjaan di Kemboja.
“Ini bukan kes pertama (penipuan pekerjaan) di Kemboja dan jika tiada tindakan serius diambil (oleh pihak berkenaan), ini juga pastinya bukan kes yang terakhir.
“Dalam kes ini, saya juga ingin nasihatkan kepada orang awam supaya tidak mudah terpedaya dengan sindiket ini. Perlu siasat latar belakang syarikat dan ejen terlebih dahulu serta pastikan mereka beroperasi secara sah,” katanya yang turut berharap kes sama tidak berulang pada masa hadapan. –UTUSAN ONLINE