PETALING JAYA: Hampir 2,000 pesalah yang ditangguh menjalani hukuman gantung ekoran pelaksanaan moratorium sejak 2018 tidak mengetahui penghujung nasib mereka apabila cadangan untuk mengkaji akta berkaitan hukuman mati sepi tanpa perkembangan.
Ia menyebabkan bilangan banduan akhir yang menanti pelaksanaan hukuman itu bertambah daripada 1,359 orang pada 2018 kepada 2,000 tahun ini.
Penangguhan itu merupakan langkah reformasi perundangan manifesto Pakatan Harapan (PH) selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman berkata, pelbagai perkara perlu diperhalusi dalam mengkaji semula gantung dengan mengambil kira kesan sama ada menghapuskan hukuman mati benar-benar memberi pengajaran kepada masyarakat umum.
Katanya, pelbagai pihak boleh memberi pandangan untuk mengurangkan hukuman kepada penjara seumur hidup, namun perlu berbalik kepada impaknya sama ada benar-benar menyedarkan rakyat agar tidak mengulangi dan melakukan kesalahan sama pada masa hadapan.
“Ketika saya menjadi Peguam Negara, Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya ketika itu memberi dua pilihan kepada hakim sama ada ingin menjatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup bagi kesalahan mengedar dadah. Namun ramai hakim menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup berbanding gantung.
“Perkara itu menyebabkan kes pengedaran dadah meningkat, justeru kerajaan memutuskan melakukan pindaan terhadap Seksyen 39B supaya hanya satu hukuman iaitu mandatori mati sahaja dan akhirnya mengurangkan kes pengedaran dadah.
“Oleh demikian, kerajaan perlu mengambil kira kesan sesuatu hukuman itu kepada masyarakat sama ada ingin benar mampu mengekang kesalahan itu agar tidak berulang lagi pada masa akan datang. Namun segalanya terserah kepada tangan kerajaan,” katanya.
Sehingga kini, terdapat 32 kesalahan di bawah lapan akta berbeza yang mempunyai peruntukan hukuman mati termasuk 11 kesalahan memperuntukkan hukuman mati mandatori di mana hukuman mati adalah satu-satunya pelaksanaan yang boleh dan wajib dikenakan ke atas individu didapati bersalah.
Hukuman mati mandatori antaranya bunuh dengan niat, penyeludupan dadah dan pemilikan senjata api.
Sebelum ini pelbagai pihak menggesa kerajaan mengkaji semula hukuman gantung termasuk kesalahan dadah kerana disifatkan melanggar hak asasi manusia antarabangsa.
Bagaimanapun, dalam temu ramah bersama Mingguan Malaysia, Ahad lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menegaskan, hukuman mati dapat menggerunkan sesiapa sahaja yang mengambil dadah dengan melihat ketegasan Singapura dalam pelaksanaan undang-undang tersebut.
Dalam pada itu, Abu Talib berpandangan, kerajaan hanya perlu meminda setiap undang-undang yang memperuntukkan hukuman mati tanpa melakukan pindaan Perlembagaan Persekutuan.
Ketika ditanya pesalah yang sudah dijatuhkan hukuman mati, beliau menjelaskan, keputusan hukuman masing-masing terserah kepada Lembaga Pengampunan untuk meneliti nasib mereka.
“Kalau undang-undang sudah tiada, jadi tiada asas untuk melaksanakan hukuman gantung itu,” katanya.
Abu Talib menambah, pelaksanaan hukuman mati bukan satu kerja mudah kerana pelbagai proses perlu dilalui pesalah sebelum mereka melangkah masuk ke bilik tali gantung.
Jelasnya, Lembaga Pengampunan adalah jalan terakhir bagi menentukan seseorang pesalah itu terlepas daripada digantung atau sebaliknya seperti memperoleh hukuman ringan berbentuk hukuman penjara seumur hidup.
“Ramai ingat lepas Mahkamah Tinggi jatuhkan hukuman gantung, pesalah terus dihukum sedangkan terdapat banyak saluran untuk menentukan nasib mereka. Jika masih di peringkat mahkamah, peringkat terakhir adalah Mahkamah Persekutuan selepas melalui Mahkamah Rayuan.
“Namun jika rayuan akhir gagal, langkah terakhir Lembaga Pengampunan dengan mengambil kira dan pandangan Peguam Negara untuk memutuskan sama ada layak diberikan pengampunan atau sebaliknya,” katanya. – UTUSAN










