TIDAK dinafikan, formula politik kerjasama UMNO dan Pas iaitu dua parti politik Melayu Islam terbesar di negara ini adalah yang terbaik dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Gabungan dinamakan Muafakat Nasional (MN) yang dibentuk pada 2019 sebagai persediaan berdepan kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu disambut baik oleh orang Melayu Islam selepas sekian lama dua parti politik paling berpengaruh itu bertelagah.
Namun, belum sempat lagi memasuki gelanggang PRU15, MN mula goyah dan dilihat retak menanti belah. UMNO dan Pas dijangka kembali bertembung di dalam pilihan raya.
Meskipun kepemimpinan kanan Pas terus mengulangi seruan ke arah penyatuan ummah bagi menyelamat dan mempertahankan MN, namun situasi semasa ketika ini agar sukar untuk hubungan dua parti itu kembali bertaut.
Sebenarnya kalau dilihat, halangan terbesar untuk UMNO kembali bersama Pas dalam MN apabila Pas enggan meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di dalam Perikatan Nasional (PN). UMNO sejelas-jelasnya menolak Bersatu, itu sudah pasti.
Luka UMNO selepas tewas buat pertama kalinya dalam sejarah pada PRU14 bertambah parah apabila ramai wakil rakyatnya yang menang atas tiket Barisan Nasional (BN) melompat ke Bersatu. Memang sukarlah untuk Pas memujuk UMNO bersama dengan Bersatu meskipun atas dasar penyatuan ummah atau apa sekali pun.
Jika dilihat, MN sebenarnya masih mampu lagi diselamatkan sekiranya Pas mengambil pendirian melupakan Bersatu atau PN. Fokus sahaja kepada MN kerjasama dengan UMNO.
Hubungan kerjasama Pas-UMNO dikatakan sudah cukup cantik dalam tempoh 22 bulan PH memerintah sebelumnya wujudnya PN sehingga menyebabkan Pas mula berbelah bahagi.
Malah kesepakatan itu sudah terbukti berjaya dengan cemerlang sehingga memenangi tujuh daripada 11 Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini.
Kerjasama Pas dan Bersatu (PN) pula dilihat sebaliknya apabila dimalukan dengan teruk dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini iaitu di Johor dan Melaka.
Sebelum ini, beberapa penganalisis politik juga menekankan bahawa PN tidak cukup ‘solid’
dengan hanya bergantung kepada akar umbi Pas manakala Bersatu pula dilihat tidak mempunyai kekuatan akar umbi. Sukar untuk PN memberi saingan kepada BN.
Menjelang PRU15, Pas sebenarnya masih mempunyai pilihan sama ada meninggalkan Bersatu seterusnya kembali mengukuhkan hubungan dengan UMNO (MN) atau terus bersama PN yang telah ditolak UMNO.
Itu satu-satunya pilihan yang dilihat ada ketika ini jika mahu menyelamatkan MN.
Jika sebaliknya, orang Melayu Islam akan kembali menyaksikan kedua-dua parti terbesar orang Melayu Islam itu bertembung. – UTUSAN










