JERANTUT: Kesabaran berdepan dengan suasana hiruk-pikuk tangisan serta pelbagai kerenah seramai lapan orang kanak-kanak di bawah jagaan ibunya akhirnya membuahkan kejayaan buat Ain Natasha Anizul, 18, apabila dia memperoleh 8A 1C dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Kota Gelanggi Dua dekat sini itu memperoleh ‘A’ dalam mata pelajaran bahasa Malaysia, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik, Sains, Sains Rumah Tangga, Perniagaan, Komputer, manakala bahasa Inggeris mendapat ‘C’.
Anak bongsu kepada ibu tunggal, Mazanira Mat Zain, 50, itu berkata, lantaran kesusahan hidup dan memerlukan wang untuk kebajikan keluarga serta persekolahan selepas kematian bapanya 10 tahun lalu, ibunya terpaksa mengambil upah menjaga lapan orang kanak-kanak dalam kalangan penduduk di Felda Kota Gelanggi Dua.
“Keadaan rumah saya menjadi hiruk-pikuk sejak waktu pagi hingga ke petang dengan tangisan bayi dan pelbagai kerenah kanak-kanak yang dijaga oleh ibu, tetapi saya tetap bersabar dengan situasi berkenaan malah turut membantu ibu ketika dia sibuk.
“Ketika sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dalam tempoh dua tahun sejak bermula di Tingkatan Empat berikutan ancaman Covid-19, ia amat mencabar sekali ketika belajar secara dalam talian di rumah,” katanya di Felda Kota Gelanggi Dua dekat sini.
Ain Natasha berkata, dia hanya berpeluang membuat kerja sekolah, mengulangkaji pelajaran dan mengakses internet selepas Isyak hingga pukul 1 pagi setiap malam.
“Saya berpuas hati kerana selepas dua tahun berdepan cabaran dan merasai kesusahan hidup bersama keluarga akhirnya berbaloi memperoleh kejayaan yang juga berkat kesabaran, usaha bersungguh di samping doa serta tawakal.
“Saya memilih untuk menjadi seorang pendidik dan sudahpun menjalani ujian pertama kemasukan sebuah institusi pendidikan, manakala pilihan kedua untuk mengikuti bidang pereka fesyen,” katanya.
Ain Natasha berkata, dia juga mempunyai alternatif menyambung pelajaran di peringkat prauniversiti di salah sebuah sekolah menengah di daerah ini sekiranya tidak mendapat tempat di institusi pendidikan berkenaan.
“Bagaimapanun, saya berharap cita-cita untuk menjadi seorang pendidik kesampaian dan diterima masuk mengikuti pengajian yang dipohon iaitu bidang prasekolah kerana selepas ini untuk membantu ibu yang telah berpenat-lelah selama ini,” katanya.
Sementara itu, Mazarina menambah, dia bersyukur dan gembira dengan kejayaan yang diperoleh oleh anak bongsunya sambil berterima kasih kepada guru SMK Felda Kota Gelanggi Dua yang cukup komited mendidik menerusi PdPR khususnya ketika tempoh pandemik Covid-19 dua tahun lalu.
“Saya tidak menyangka Ain Natasha memperoleh kejayaan ini, ia berkat kesungguhannya serta kesabaran belajar di rumah dalam suasana yang tidak tenteram,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE










