Aidiladha: Tunggu pengumuman rasmi 29 Jun - Utusan Malaysia

Aidiladha: Tunggu pengumuman rasmi 29 Jun

DR. LUQMAN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Umat Islam di negara ini diminta bertenang dan menunggu pengumuman rasmi daripada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berhubung tarikh sebenar Hari Raya Aidiladha.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah berkata, setakat ini tarikh perayaan itu masih kekal lagi seperti diwartakan dalam takwim rasmi kerajaan iaitu pada 10 Julai depan.

“Setakat ini saya mohon kita berpegang tarikh sedia ada kerana belum ada pertukaran baharu kecuali selepas pencerapan pada petang 29 Jun nanti,” katanya di sini semalam.

Isu tarikh Aidiladha menjadi perbincangan panas umat Islam tempatan akhir-akhir ini selepas kerajaan Arab Saudi mengumumkan hari Wukuf di Arafah dijangka jatuh pada 8 Julai depan.

 Kelazimannya perayaan tersebut akan disambut sehari selepas perhimpunan jemaah haji itu yang kali ini turut digelar sebagai Haji Akbar atau amat besar kerana berlaku pada Jumaat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad ketika berucap pada majlis mengucapkan selamat jalan kepada 291 bakal jemaah haji semalam membayangkan tarikh Wukuf mungkin jatuh pada 8 Julai kelak.

Mengulas lanjut, Luqman menegaskan, beliau tidak mahu terburu-buru dalam isu penetapan tarikh Aidiladha kerana segala-galanya boleh berubah pada petang pencerapan 29 Jun nanti.

“Saya ambil iktibar dengan apa berlaku ketika Hari Raya Aidilfitri awal Mei lalu yang tanpa disangka berlaku perubahan tarikh sehari lebih awal kerana ada lokasi nampak hilal,” katanya.

Beliau merujuk insiden pada petang 1 Mei lepas apabila pasukan pencerapan di Labuan dapat melihat imej anak bulan Syawal yang memenuhi kriteria baharu imkanur rukyah ditetapkan.

Keadaan tidak diduga itu sekali gus menyaksikan umat Islam di Malaysia tidak perlu berpuasa genap 30 hari dengan kali terakhir puasa Ramadan cuma 29 hari direkodkan pada 2018 lalu.

Bahkan situasi yang langsung tidak dijangka itu mencetuskan suasana kelam kabut persiapan Aidilfitri kerana dari segi hisab atau kiraan falak, hilal tidak mencukupi syarat imkanur rukyah.

Senario berbeza pula berlaku pada 30 Mei lalu apabila hilal Zulkaedah tidak menepati kriteria yang menyebabkan bulan Syawal 1443 Hijrah perlu digenapkan 30 hari dan bukannya 29 hari.

Perkara yang tidak diramalkan langsung itu juga membolehkan umat Islam di Malaysia dapat sehari tambahan lagi ‘beraya’ pada 31 Mei lalu manakala 1 Zulkaedah cuma bermula 1 Jun.

Ditanya apakah akan berlaku sekali lagi kejutan pada 29 Jun depan, Luqman berkata, beliau sendiri tidak pasti dan menyerahkan pengumuman rasmi Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

“Saya pun tidak berani cakap mengenai tarikh sebenar Aidiladha ini, biarlah kita tunggu pada petang tarikh berkenaan sebab nanti akan timbul pelbagai spekulasi lain pula,” tambah beliau.

Ketika ini terdapat sejumlah 29 tempat cerapan diwartakan oleh Majlis Raja-Raja di seluruh negara sejak 2011 yang ditugaskan bagi melihat kesemua 12 anak bulan Hijri sepanjang tahun. –UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.