PETALING JAYA: “Saya amat mengalu-alukan proses audit dijalankan kerana permasalahan yang timbul seperti isu jumlah undian, aduan dan juga bantahan, akhirnya diambil tindakan oleh parti”.
Demikian tegas pengarah dan pelakon, Datuk Afdlin Shauki yang sebelum ini tewas merebut jawatan Ketua Cabang Setiawangsa dalam pemilihan PKR, baru-baru ini.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, menurutnya, calon-calon parti kini menarik nafas lega selepas tuntutan menangguhkan kongres dan lalui proses audit forensik berkenaan pemilihan parti dipersetujui ekoran dakwaan berlaku kekeliruan dalam proses pemilihan PKR 2022.
“Perkara yang berlaku membuka mata penyokong PKR bahawa forensik audit menunjukkan ada ketelusan dalam parti dan jika ada apa-apa yang berlaku, ia dapat dibuktikan,” katanya di sini semalam.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan, kekeliruan dalam proses pemilihan PKR 2022 yang menyaksikan 2,000 ahli parti itu membuat bantahan mendorong PKR sekali lagi menangguhkan kongresnya yang dijadual hujung bulan.
Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) diberi tempoh sebulan untuk mengadakan audit forensik terhadap aduan dibangkitkan sebelum keputusan rasmi pemilihan diumumkan kepada umum.
Afdlin berkata, beliau juga akan menerima dengan hati yang terbuka hasil laporan audit dan tidak mengharapkan kemenangan akan berada pada pihaknya sejurus selepas habis proses audit dilakukan.
Dalam pada itu, pelakon dan usahawan, Datuk Hans Isaac berkata, beliau menyambut baik keputusan yang dibuat parti menangguhkan kongres dan meneruskan audit berkaitan pemilihan parti tempoh lalu.
“Ini proses yang bagus kerana melambangkan demokrasi parti, pimpinan atasan juga sangat bertanggungjawab memahami isu ahli dan calon-calon yang bertanding, bagi saya ia wajar dipuji.
“Kalau ada apa-apa keputusan daripada forensik audit itu, kita hanya ikutkan sahaja, silap-silap tidak ada sebarang masalah, yang penting ia memuaskan hati semua ahli parti dan tidak menimbulkan sebarang persoalan tambahan,” katanya.
Beliau yang juga tewas merebut kerusi Ketua Cabang Ampang tidak menjangkakan forensik audit sebagai tiket untuknya memenangi pemilihan terbabit. – UTUSAN










