Tutup ladang ayam tiada kaitan kartel - Utusan Malaysia

Tutup ladang ayam tiada kaitan kartel

ALEXANDER Nanta Linggi bersama timbalannya, Datuk Rosol Wahid (dua kiri) melancarkan Logo Barang Kawalan dan Subsidi pada Majlis Perhimpunan Bulanan Warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di Kementerian KPDNHEP, di sini, hari ini.-UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjelaskan, penutupan ladang ayam selama dua hari oleh syarikat pengeluar tiada kaitan dengan kartel.  

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya sudah menerima surat penjelasan daripada syarikat tersebut yang akan melakukan penutupan ladang untuk tempoh itu.  

“Penjelasan mereka tidak menampakkan seolah-olah kartel untuk mengambil keuntungan berlebihan. Ia ditutup hanya dua hari sebab dia kata, biasanya ayam boleh membesar sehingga mencapai 1.8 kilogram (kg) dan sebagainya. 

“Tetapi ayam mereka yang nak tutup ini hanya sampai 1.1 kg dan kecil, jadi mereka tidak mahu bekalkan ayam kecil dengan berat sebegini kerana mengundang masalah persepsi pengguna, kenapa ayam kecil dan sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar selepas perhimpunan bulanan KPDNHEP di sini hari ini. 

Beliau berkata, selain itu, syarikat tersebut juga mahu menjaga nama mereka sebagai pengeluar ayam sekali gus mengelakkan timbul masalah lain. 

“Kebiasaannya ayam ini dihantar ke pasar dan ia juga ada usia tertentu di ladang. Kalau ayam itu tidak mencukupi, ia boleh menimbulkan masalah lain. 

 “Walaupun syarikat besar, tetapi kita sudah pastikan penutupan selama dua hari ini tidak akan menjejaskan bekalan ayam di pasaran,” katanya. 

 Terdahulu, media melaporkan, sekumpulan kartel industri ternakan ayam didakwa merancang menutup ladang ternakan pada Sabtu dan Ahad ini sebagai protes kepada kerajaan yang dikatakan lambat melakukan bayaran subsidi harga ayam sebanyak 60 sen. 

 Susulan itu, Penasihat Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Datuk Jeffrey Ng dipetik berkata, tindakan menutup operasi mengikut keperluan adalah amalan biasa dalam kalangan syarikat atau pengeluar ayam manakala, pihaknya tidak pernah menasihatkan mana-mana ahli untuk menghentikan operasi kecuali jika ada sebab tertentu seperti tidak cukup pekerja atau mahu menyelesaikan isu-isu syarikat. 

 Dalam perkembangan lain, Alexander berkata, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dijangka membentangkan laporan kajian industri ayam kepada KPDNHEP pada Julai ini. 

 Katanya, menerusi laporan terperinci itu, pihaknya berharap akan memperoleh keputusan serta langkah dalam menangani masalah kartel. 

 “MyCC sekarang telah buat kajian terperinci. Saya difahamkan akan mengambil masa sedikit lagi untuk melengkapkan laporan dan dibentangkan kepada KPDNHEP. 

“Justeru, saya berharap sehingga Julai nanti, ada keputusan atau langkah tertentu bagi menangani masalah kartel,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN