Tidak wajar mansuh STPM – Pakar

Tidak wajar mansuh STPM – Pakar

ANUAR AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tidak seharusnya dibubarkan sebaliknya terus diperkasa sebagai salah satu cabang dalam sistem pendidikan negara yang dipenuhi pelbagai kaum negara ini.

Pakar pendidikan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, beliau tidak bersetuju dengan cadangan supaya STPM dibubarkan dan hanya memberi fokus kepada Program Matrikulasi Malaysia (PMM).

Ini kerana, kata beliau, dua laluan ke universiti itu mempunyai matlamat yang berbeza di dalam sistem pendidikan negara dan kedua-duanya penting untuk terus dikekalkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita tiada keupayaan untuk memastikan semua pelajar memasuki PMM kerana ia akan menyimpangi dari tujuan asal penubuhannya iaitu membantu golongan bumiputera dan mengimbangi jumlah mereka dengan bukan bumiputera dalam aliran sains.

“Oleh itu, saya merasakan cadangan untuk membubarkan STPM dan mahu semua pelajar memasuki PMM adalah tidak tepat serta menyimpang dari tujuan asal penubuhan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Datuk Dr. Teo Kok Seong mencadangkan supaya STPM dibubarkan dan menjadikan PMM sebagai satu-satunya pendidikan prauniversiti di negara ini.

Beliau mengemukakan cadangan itu selepas permintaan kemasukan ke PMM oleh golongan bukan bumiputera semakin meningkat kerana merasakan program prauniversiti itu lebih cemerlang berbanding STPM.

“Ini akan menjadi stigma iaitu tanda kelemahan (STPM) kerana kurang cemerlang, yang tidak sepatutnya wujud. Ini kerana pelajar STPM aliran sains akan rata-ratanya dilihat sebagai kelompok kurang cemerlang yang tidak layak pun ke PMM.

“Dengan STPM aliran sains yang boleh dikatakan kesemuanya terdiri daripada hanya pelajar bukan Melayu, ia sesungguhnya satu keadaan perkauman yang kita sendiri ciptakan. Ini bukan sahaja buruk sekali dari gambarannya, juga realiti pemisahan yang tidak sepatutnya wujud,” katanya.

Mengulas lanjut, Anuar berkata, STPM perlu diperkasakan supaya stigma seperti kurang cemerlang itu dapat ditangani.

“Apa yang dibuat oleh Kementerian Pendidikan (KPM) sekarang ini memang sudah be­tul, mereka sedang memantapkan Tingkatan 6. Malah, STPM sudah diiktiraf oleh banyak universiti di luar negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×