ISTANBUL: Rusuhan besar-besaran menggegarkan bandar ini susulan penerbitan karikatur yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW dalam edisi terbaharu majalah satira LeMan.
Kejadian itu mencetuskan kemarahan awam yang membawa kepada demonstrasi ganas di pusat bandar.
Polis Turkiye menggunakan peluru getah dan gas pemedih mata untuk menyuraikan ratusan penunjuk perasaan yang berkumpul bagi membantah penerbitan tersebut.
Rusuhan itu meletus selepas Ketua Pendakwa Raya Istanbul mengarahkan penahanan barisan editor majalah berkenaan bagi dakwaan menghina nilai agama secara terbuka.
“Pejabat Ketua Pendakwa Raya membuka siasatan terhadap penerbitan kartun dalam edisi 26 Jun 2025 majalah LeMan, yang secara terbuka menghina nilai agama, dan waran tangkap dikeluarkan terhadap pihak terbabit,” menurut kenyataan rasmi pejabat pendakwa raya.
Karikatur berkenaan, yang merupakan salinan imej hitam putih dimuat naik di media sosial, menggambarkan dua individu terapung di langit di atas sebuah bandar yang sedang dibedil. Seorang watak dalam ilustrasi itu dikenali sebagai ‘Muhammad’, yang memberi salam dan berjabat tangan dengan watak bernama ‘Musa’.
Ketua Editor LeMan, Tuncay Akgun, menafikan dakwaan ilustrasi tersebut menggambarkan Rasulullah. Beliau menjelaskan nama ‘Muhammad’ merujuk kepada seorang mangsa pengeboman di Palestin dan bukannya figura suci Islam.
Penjelasan itu gagal meredakan kemarahan orang ramai.










