Tidak perlu wakil doktor pelatih, elak prejudis - Utusan Malaysia

Tidak perlu wakil doktor pelatih, elak prejudis

KHAIRY Jamaluddin ketika dalam sidang akhbar selepas majlis sambutan Alidilfitri KKM di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tidak perlu wakil daripada doktor pelatih untuk terlibat dalam pasukan petugas khas yang ditubuhkan bagi menjalankan siasatan susulan kes buli di lapangan hospital, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, penubuhannya juga adalah secara bebas sekali gus bagi memastikan tiada pandangan prejudis dalam pasukan petugas khas tersebut.

“Sebab itu di dalam pasukan petugas khas ini tidak ada doktor pelatih dan pegawai perubatan (MO) yang ada di hospital. Walaupun ada doktor tetapi tidak ada MO.

“Kita mahu pasukan bebas dan mereka juga sudah mengeluarkan kenyataan bahawa pasukan petugas khas ini akan mendengar pandangan semua pihak. Jadi, tidak timbul soal ia tidak inklusif kerana mereka akan dengar pendapat dan pandangan,” katanya ketika ditemui pada Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Kesihatan (KKM) di sini hari ini. 

Dalam pada itu, Khairy berkata, mereka yang dilantik di dalam pasukan itu juga adalah di luar bidang lapangan hospital dalam memastikan laporan yang dibuat adalah bebas, seimbang dan adil untuk semua pihak. 

Media sebelum ini melaporkan, sebuah Pasukan Petugas Khas Bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan (HWCITF) ditubuhkan secara rasmi antaranya bagi menganalisis maklumat dan hasil siasatan insiden kematian seorang Pegawai Perubatan Siswazah (PPS) di Hospital Pulau Pinang.

Penubuhan pasukan khas itu juga ekoran laporan dan aduan diterima berkaitan kejadian buli serta masalah tekanan mental yang dihadapi, bukan sahaja oleh PPS, malah kakitangan perkhidmatan kesihatan semasa melaksanakan perkhidmatan mereka. 

HWCITF dipengerusikan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Profesor Datuk Dr. Siti Hamisah Tapsir dan dianggotai lapan individu profesional serta pakar dalam bidang masing-masing. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN