Tahap kepatuhan kepada AwAS cecah 99 peratus - JPJ - Utusan Malaysia

Tahap kepatuhan kepada AwAS cecah 99 peratus – JPJ

WEE Ka Siong melawat ke gerai makanan ketika hadir pada Majlis Sambutan Hari Raya dan Apresiasi 76 Tahun JPJ di Putrajaya di sini, hari ini.-UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tahap kepatuhan pengguna jalan raya terhadap Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) mencecah 99 peratus khususnya pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri lalu. 

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim berkata, ia sekali gus membuktikan bahawa aktiviti penguatkuasaan dan advokasi yang berterusan  menyumbang kepada rekod pematuhan ini. 

Beliau berkata, perkembangan itu turut menurunkan bilangan kemalangan dan kematian sepanjang tempoh Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu Bersempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2022. 

“Pada masa sama, bilangan notis saman P22 bagi setiap 100 kenderaan yang diperiksa juga menurun kepada 18.5 peratus pada 2022 berbanding 35.2 peratus pada 2019.

“Lebih membanggakan lagi, apabila tiada kemalangan melibatkan bas direkodkan pada tahun ini. Dianggarkan 1,500 buah bas beroperasi dengan kapasiti satu juta penumpang pada musim perayaan lalu,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri JPJ 2022, hari ini.

Ia turut dihadiri Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong.

Katanya, kejayaan ini adalah bukan hasil kerja JPJ sahaja sebaliknya kerjasama dan sokongan daripada pelbagai pihak termasuk kementerian, agensi, badan bukan kerajaan (NGO) dan media. 

Selepas ditangguh penggunaannya selama setahun pada 2020, Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) atau sebelum ini dikenali sebagai Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), kembali beroperasi sepenuhnya Oktober tahun lalu.

Ia membabitkan pemasangan 29 kamera yang digunakan bagi tujuan memantau kesalahan melebihi had laju, manakala 16 kamera lagi bagi kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat merah.

Dalam perkembangan sama, Zailani berkata, lima kesalahan lalulintas utama yang sering dilakukan sepanjang musim perayaan lalu termasuk memandu di lorong kecemasan, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, gagal patuhi isyarat lampu merah, memandu melebihi had laju, dan memotong barisan. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN