KUALA LUMPUR: Surat tunjuk sebab bertarikh 9 Mei lalu yang antara lain mendakwa Datuk Zuraida Kamaruddin bergiat aktif dalam penubuhan Parti Bangsa Malaysia (PBM), sekali gus melanggar perlembagaan parti menjadi punca beliau bertindak nekad keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Walaupun beliau ketika ditemu bual secara eksklusif oleh Utusan Malaysia baru-baru ini menjawab pendiriannya terhadap Bersatu dan menyatakan kesetiaan kepada parti itu tetapi kecewa apabila masih diberikan surat tunjuk sebab itu.
“Majlis Pimpinan Tertinggi telah dimaklumkan bahawa Yang Berhormat Datuk (Zuraida) telah mengetuai, menyertai dan bergiat aktif dan berkempen untuk penubuhan PBM, sekali gus melanggar peruntukan Perkara 10.2.3 Perlembagaan Bersatu.
“Maka dengan ini telah diputuskan untuk Yang Berhormat diberikan surat tunjuk sebab mengapa keahlian Datuk tidak boleh dipecat. Yang Berhormat diberikan tempoh 14 hari dari tarikh surat ini untuk memberi jawapan.”
Itu antara kandungan surat itu yang ditandatangani Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Sumber yang mendedahkan surat berkenaan kepada Utusan Malaysia menjelaskan, surat itu juga dinyatakan bahawa surat tunjuk sebab itu dikeluarkan bagi membolehkan Zuraida menjawab persoalan mengapa keahliannya dalam Bersatu.
Ia diterima Zuraida pada 18 Mei lalu.
Sumber menyatakan, tindakan Zuraida keluar Bersatu sudah dijangka pelbagai pihak tetapi langkah tiba-tibanya itu dianggap mengejutkan.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan yang Zuraida menolak pertuduhan itu sekali gus meminta Bersatu mengemukakan bukti mengenainya.
Beliau meminta Pejabat Setiausaha Agung menyertakan bukti terhadap tuduhan-tuduhan yang dilemparkan. – UTUSAN










