Sistem Cloud pacu digital sektor awam - Utusan Malaysia

Sistem Cloud pacu digital sektor awam

ISMAIL Sabri Yaakob hadir menyaksikan Majlis Pertukaran Dokumen CFA dengan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sejumlah lebih 1,000 perkhidmatan yang berasaskan Pengkomputeran Awan (CLOUD) bakal menjadi pemacu usaha transformasi digital sektor awam secara lebih holistik.

Inisiatif itu hasil pemeteraian kontrak berpusat dikenali Perjanjian Rangka Kerja Cloud (CFA) antara kerajaan dengan empat syarikat panel Penyedia Perkhidmatan Awan (CSP) terpilih.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan bersetuju melantik CSP itu hasil penilaian yang telus melibatkan pelbagai pihak berdasarkan cadangan dikemukakan.

Malah, ujarnya, empat penyedia Cloud Bumiputera tempatan lantikan CSP terlibat yang dikenali Penyedia Perkhidmatan Diurus (MSP) bakal memperkasakan lagi agenda MyGovCloud.  

“Mereka akan menyediakan perkhidmatan Cloud terbaik, selamat dan terjamin yang akan memacu transformasi digital sektor awam secara lebih holistik,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau sebelum itu hadir menyaksikan Majlis Pertukaran Dokumen CFA dengan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) di Hotel Zenith, di sini hari ini.

Turut serta pada program tersebut ialah Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Juga Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd. Shafiq Abdullah dan Ketua Pengarah MAMPU, Datuk Seri Dr. Yusof Ismail.

Empat syarikat CSP yang terpilih CFA itu ialah Amazon Web Services Malaysia Sdn. Bhd., Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd., Microsoft (Malaysia) Sdn. Bhd. dan Telekom Malaysia Berhad.

Sementara itu, empat syarikat MSP domestik yang terlibat ialah Cloud Connect Sdn. Bhd., Enfrasys Solutions Sdn. Bhd., Radmik Solutions Sdn. Bhd. dan Awantec System Sdn. Bhd.

Menerusi CFA itu, Google Cloud dan Awantec bakal menawarkan lebih 500 perkhidmatan, manakala Microsoft dan Enfrasys Solutions juga akan menawarkan lebih 500 lagi perkhidmatan.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri menjangkakan pembabitan pihak CSP dan MSP itu mampu membuka potensi pelaburan dalam negara yang mencecah RM15 bilion menjelang tahun 2025.

“Pelaburan ini akan menjadi ‘tulang belakang’ pembentukan ekosistem digital mampan dan pertumbuhan ekonomi lestari serta Malaysia sebagai hab digital utama ASEAN,” katanya.

Langkah itu jelasnya, sejajar inisiatif kelima MyGovCloud di bawah Teras 1 Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia atau MyDigital yang menyasarkan 80 peratus penggunaan CLOUD.

Pada masa sama, usaha terbaharu itu kata beliau, bagi menyokong Perkhidmatan Pusat Data Sektor Awam (PDSA) seluruh agensi yang sudah dinaik taraf kepada perkhidmatan awan.

Secara keseluruhan, tambahnya, pelaksanaan CFA membolehkan agensi awam menikmati ratusan perkhidmatan CLOUD yang lebih baik, cekap dan bersasar pada harga lebih kompetitif.

Usaha itu juga ujarnya, merupakan inovasi dalam perolehan perkhidmatan CLOUD di kesemua agensi awam seiring dengan pengukuhan fungsi dan peranan MAMPU pada masa depan.

“Saya berharap lebih banyak manfaat bakal dinikmati rakyat secara amnya dan seluruh agensi kerajaan bagi merancakkan pembangunan teknologi dan ekonomi digital,” kata Ismail Sabri. –UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya