Warga Jordan, dua wanita dicekup seludup bunga ganja guna kereta mewah

Warga Jordan, dua wanita dicekup seludup bunga ganja guna kereta mewah

KENDERAAN mewah digunakan untuk menyeludup ganja yang berjaya dirampas Pasukan Gerakan Am dalam serbuan di Kampung Simpangan, Tumpat, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Taktik licik seorang lelaki warga Jordan bersama dua wanita tempatan menyeludup bunga ganja menggunakan sebuah kereta mewah terbongkar apabila mereka diberkas Pasukan Gerakan Am (PGA) di sebuah pangkalan haram di Kampung Simpangan di sini, semalam.

Serbuan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan pada pukul 4.30 petang itu membawa kepada penemuan bunga ganja seberat enam kilogram yang disorokkan di bahagian bonet dan bahagian belakang sebuah kereta mewah jenis Mercedes Benz S500L.

Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, anggota PGA mendapati sebuah kereta jenis Mercedes Benz S500L berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan pangkalan haram itu.

Katanya, seorang daripada suspek didapati mengambil bungkusan plastik di tepi sungai sebelum meletakkannya di bahagian bonet depan kereta tersebut.

“Anggota PGA menyerbu kawasan tersebut sebelum menjumpai plastik lutsinar berisi ketulan daun kering seberat 1.3 kilogram disyaki bunga ganja di bahagian depan kiri kereta itu.

“Pemeriksaan pada ruang but belakang kereta itu membawa kepada penemuan empat plastik lutsinar mengandungi ketulan daun kering disyaki bunga ganja seberat 4.7 kilogram dengan anggaran nilai kesemua dadah tersebut sebanyak RM480,000,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Radzi berkata, hasil soal siasat mendapati, ketiga-tiga suspek mengaku semua dadah itu milik mereka dan baru pertama kali mengambil barangan tersebut di pangkalan haram berkenaan.

Katanya, suspek wanita mengaku bertindak sebagai orang tengah kepada dua suspek lain untuk menghubungkan mereka dengan pengedar dari Sungai Golok, Thailand yang dikenali sebagai Abe sebelum dadah tersebut dibawa ke Kuala Lumpur. 

“Upah sebanyak RM1,800 atau RM300 bagi setiap kilogram dadah dibayar melalui suspek wanita itu selepas semua dadah tersebut dihantar kepada seorang lelaki dikenali sebagai Lee di Kuala Lumpur.

“Jumlah keseluruhan rampasan termasuk kereta jenis Mercedes Benz S500L yang dinaiki ketiga-tiga suspek dianggarkan bernilai RM630,100,” ujarnya.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN