ALOR SETAR: Runtuhan ban di Terusan Tengah milik Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dekat Struktur Alor Limpah, Sungai Santap di Pelubang di sini, Isnin lalu akan turut memberi kesan terhadap keselamatan makanan negara sekiranya tidak diperbaiki segera.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhamamad Sanusi Md. Nor berkata, kerosakan yang berlaku itu jika dibiarkan akan menjejaskan penanaman padi di kawasan seluas 47,000 relung atau 13,350 hektar yang selama ini menghasilkan sebanyak 66,750 tan padi.
Justeru, katanya, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu turut memberi perhatian terhadap perkara tersebut agar struktur baharu yang dibina nanti akan lebih kukuh dan kemas serta sesuai dengan keperluan pertanian supaya kejadian sama tidak berulang.
“Sekarang, musim untuk air masuk ke sawah dan kejadian itu kini menyebabkan air tidak dapat masuk ke sawah di kawasan tertentu. Jika proses baik pulih tidak dibuat dalam tempoh dua minggu akan datang, sawah-sawah seluas 13,350 hektar ini akan terjejas.
“Jumlah petani terlibat adalah seramai 40,000 orang dan pengeluaran padi sebanyak 66,750 tan juga mungkin akan terjejas.
“Ini membabitkan soal keselamatan makanan dan disebabkan itu, MAFI serta MKN perlu beri perhatian terhadap isu ini kerana kos untuk membina struktur lebih kukuh dan kemas untuk pertanian, jauh lebih tinggi berbanding anggaran awal pembaikan biasa yang menelan belanja antara RM1.5 hingga RM1.8 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.15 tengah hari, struktur ban tersebut runtuh hingga menyebabkan air mentah di Terusan Tengah tersebut berkurangan, sekali gus mengakibatkan lebih 30,000 akaun Syarikat Air Darul Aman (SADA) mengalami masalah gangguan bekalan air.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, usaha yang dijalankan ketika ini lebih tertumpu kepada langkah untuk meningkatkan air di Terusan Tengah kembali ke paras mencukup bagi membolehkan Loji Rawatan Air (LRA) terjejas dapat kembali beroperasi sekali gus mengatasi masalah bekalan air di kawasan terlibat.
Selepas semua itu diselesaikan, katanya, usaha akan ditumpukan pula kepada langkah untuk mengepam air ke sawah padi bagi tujuan pertanian.
“Kerajaan negeri berharap isu ini diberi perhatian oleh pihak MAFI dan MKN agar dapat diselesaikan segera. Berkenaan bekalan air yang terjejas pula, setakat ini keseluruhannya masih terdapat 38,500 akaun pengguna yang terjejas.
“Ini kerana LRA Pokok Sena masih belum beroperasi disebabkan insiden yang berlaku manakala LRA Jenun Lama pula hanya beroperasi pada kapasiti 70 peratus disebabkan masalah sistem elektrikal dalaman. Masalah itu dijangka dapat diselesaikan secara berperingkat tidak lama lagi,” katanya. –UTUSAN ONLINE










