Polis Kelantan perketat kawalan sempadan - Utusan Malaysia

Polis Kelantan perketat kawalan sempadan

Anggota keselamatan meningkatkan keselamatan di sempadan negara berikutan kejadian letupan di Tak Bai, Selatan Thai, Rabu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Polis Kelantan memperketat dan meningkatkan kawalan di negeri ini yang bersempadan dengan Thailand, berikutan insiden letupan bom dan tembakan pada malam Rabu lalu.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya yakin dengan kekuatan anggota pasukan keselamatan yang ditempatkan itu dapat membendung sebarang kegiatan yang tidak diingini seberapa segera.

“Malah kita juga mempunyai pasukan agensi lain seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia negeri yang bertugas di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) sempadan Malaysia-Thailand.

“Begitu juga sejak sempadan dibuka kita sudah memperketatkan kawalan dan berjalan dengan baik,” katanya.

Namun katanya, mereka yang mempunyai sebarang maklumat mencurigakan atau sebaliknya diminta melaporkan segera kepada pihak berkuasa.

Sementara itu, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga terus meningkatkan lagi rondaan di kawasan perairan sempadan Malaysia-Thailand susulan insiden letupan bom di Tak Bai itu.

Komander PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said berkata, rondaan tersebut bagi memastikan sempadan negara berada pada tahap terbaik dan bebas daripada sebarang anasir yang mampu mengancam keamanan negara.

Menurutnya, bagi memperkasakan lagi penugasan, PPM Wilayah Tiga turut bertukar-tukar maklumat dengan Polis Marin Thailand dalam usaha mengukuhkan kawalan sempadan antara kedua-dua negara di negeri ini.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN