PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui terkejut apabila lebih 100,000 orang hadir ke Rumah Terbuka Aidilfitri yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya semalam.
Katanya, ia merupakan satu jumlah yang luar biasa, meskipun sambutan hari raya sudah memasuki hari ketujuh.
“Walaupun bermula jam 10 pagi, namun, ada yang sudah beratur dua jam sebelum itu.
“Bilangan ahli Keluarga Malaysia yang hadir melebihi 100,000, satu angka yang belum pernah tercatat dalam jamuan Rumah Terbuka Aidilfitri,” katanya dalam akaun Facebook miliknya.
Apa yang lebih menyeronokkan, katanya, jumlah yang hadir itu meliputi rakyat daripada berbilang bangsa.
“Saya cukup seronok dapat bertemu dengan Keluarga Malaysia yang pelbagai kaum dan warna kulit berkumpul menikmati juadah bersama-sama sebagai sebuah keluarga.
“Terima kasih semua, kerana sudi hadir untuk beraya bersama-sama.
“Sungguh, ia satu memori yang amat bermakna kepada saya yang pasti saya ingati sampai bila-bila,” katanya.-UTUSAN ONLINE