BUKIT GANTANG: Masalah birokrasi dalaman didakwa menyebabkan tempat simpanan ikan sejuk beku Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) terbiar kosong dan gagal memainkan fungsinya sebagai stok penyimpanan sumber protein negara.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, kekurangan bekalan dan peningkatan harga ikan di pasaran selama ini bukan semata-mata disebabkan cuaca dan penguasaan kartel.
Katanya, keadaan yang berlaku berpunca daripada masalah birokrasi dalaman kerajaan sehingga kemudahan tersebut gagal berfungsi sebagai stok simpanan ikan.
“Selepas saya dilantik Pengerusi (LKIM), saya sering menekankan tentang stok penyimpanan ikan, namun LKIM tidak melaksanakannya.
“Kita mempunyai kilang sejuk beku tetapi langsung tidak berfungsi sepenuhnya. Tempat simpanan sejuk beku yang boleh memuatkan 1,000 tan metrik ikan ada tetapi terbiar,” katanya pada majlis sambutan Aidilfitri di Dewan Bunga Raya Changkat Jering di sini, semalam.
Beliau yang kecewa dengan keadaan itu berkata, masalah kekurangan ikan dan peningkatan harga ikan di pasaran sememangnya sentiasa berlaku.
“Masalah itu berlaku berulang kali bukan disebabkan seperti cuaca, kartel dan lain-lain tetapi daripada birokrasi dalaman kerajaan yang terlalu lembab dan sistem penyampaian yang gagal.
“Saya berasa sedih apabila masalah tidak cukup ikan di pasaran menyebabkan rakyat terpaksa menanggung kos hidup yang tinggi untuk membeli ikan,” katanya.
Menurut beliau, masalah itu tidak akan berlaku sekiranya LKIM menyimpan stok ikan sejuk beku yang boleh dikeluarkan bagi keperluan rakyat pada waktu krisis begini.
“Masalahnya LKIM tiada stok simpanan,” katanya.
Beliau berkata, masalah bekalan dan kenaikan harga ikan telah beberapa kali dibentangkan dalam lembaga mesyuarat, namun sering ditangguh, malah perkara yang perlu dilaksanakan untuk kebaikan juga tidak dibuat.
Jelas beliau, pihaknya akan meminta campur tangan Ketua Setiausaha Negara (KSN) untuk menangani masalah birokrasi dengan segera.
“Untuk memenuhi semula keperluan atau stok simpanan ikan sejuk beku bagi menampung keperluan rakyat pada masa hadapan, kita memerlukan masa antara dua hingga tiga bulan.
“Kita kena segera arahkan kapal-kapal nelayan untuk ke laut. Sekiranya terdapat kekurangan pekerja, kita boleh meminta Jabatan Imigresen untuk mengambil sesuatu tindakan segera bagi mengatasi masalah kekurangan kru kapal,” katanya. – UTUSAN










