PETALING JAYA: Krisis di Eropah Timur membabitkan Russia dengan Ukraine dan kuasa Barat yang menjejaskan rantaian bekalan global produk penting, dikhuatiri bakal mengakibatkan inflasi dan kenaikan harga barang tidak terkawal sekali gus meningkatkan sentimen kemarahan rakyat termasuk di Malaysia.
Sumber pihak Russia memberitahu Utusan Malaysia, pihaknya menjangkakan dalam tempoh setahun sejak krisis Russia-Ukraine bermula 24 Februari lalu, kemungkinan berlaku kebangkitan rakyat mirip Arab Spring berskala global kerana mereka tidak mampu menanggung kos kenaikan harga barangan keperluan asas yang meningkat secara drastik.
Jelasnya, Russia dan Ukraine merupakan antara 10 negara pengeluar makanan terbesar dunia yang mengeksport bijirin seperti gandum, jagung dan soya, malah Malaysia bergantung tinggi kepada produk eksport Russia terutama baja tanaman.
Justeru katanya, negara pengimport termasuk Malaysia perlu bijak mencari alternatif bagi mengawal kesan buruk susulan rantaian pembekalan produk yang terjejas akibat perang, bagi memastikan kenaikan harga barangan yang terkawal.
Menurutnya, kemungkinan berlaku revolusi rakyat berskala global susulan peperangan Ukraine berdasarkan senario di benua Arab sebelum revolusi pada 2010, yang bermula di Tunisia dan melarat sehingga mencetuskan perang saudara di hampir semua negara rantau itu.
“Semua sedia maklum, dalam mana-mana revolusi kenaikan harga barang merupakan faktor utama yang mencetuskan kemarahan rakyat di mana-mana negara, baik sewaktu Revolusi Perancis 1789 sehinggalah Arab Spring pada 2010.
“Dalam konteks Arab Spring 2010, sebelum ia tercetus di benua Arab, berlaku kemarau di Russia dan Eropah Timur yang menjejaskan pengeluaran gandum, barli, dall serta jagung ke Asia Barat. Ini mengakibatkan eksport terjejas dan berlaku inflasi serta kenaikan mendadak harga barangan asas di sana.
“Susulan itu, rakyat di Tunisia, Mesir dan negara Asia Barat lain mula turun ke jalanan bagi menyuarakan kesempitan hidup yang mendesak sehingga berlaku rampasan kuasa dan perang saudara.
“Dalam krisis di Ukraine sekarang, tidak ada tanda-tanda bakal reda apatah lagi Amerika Syarikat dan United Kingdom semakin galak membekalkan senjata kepada Ukraine. Jika krisis ini berterusan, keadaan pasti lebih parah berbanding kemarau 2010, dan kali ini sudah pasti seluruh dunia akan terkesan kerana membabitkan pelbagai produk yang dieksport,” katanya.
Sementara itu, sumber dari sebuah agensi perisikan negara memberitahu, kerajaan tidak perlu panik terhadap perkembangan geopolitik dunia membabitkan Russia-Ukraine, namun perlu cekap mengatur strategi dan polisi luar yang efektif bagi menjamin keselamatan makanan negara.
Namun beliau berkata, isu bekalan produk eksport dari Russia dan Ukraine yang terjejas termasuk bijirin khususnya gandum serta minyak dan gas asli adalah sinonim dengan blok Barat manakala Malaysia dan negara ASEAN lain yang bergantung kepada beras sebagai makanan ruji masih berupaya mengimbangi keadaan itu.
Dalam pada itu, sumber kerajaan memberitahu: “Sebab itulah, kerajaan dilihat cekap mengambil langkah proaktif dalam menjamin keselamatan makanan negara. Ini jelas melalui langkah mengadakan kunjungan ke negara jiran di rantau ASEAN, misalnya ke Kemboja untuk urusan import beras dan Vietnam bagi tujuan eksport minyak sawit serta petroleum”.
Malah kelmarin, al-Jazeera melaporkan Negara Kumpulan Tujuh (G7) memberi amaran perang di Ukraine telah mencetuskan krisis makanan dan tenaga global yang mengancam negara-negara miskin.
Menteri Luar Jerman, Annalena Baerbock yang menjadi tuan rumah mesyuarat diplomat tertinggi G7 berkata, peperangan itu kini menjadi krisis global dan dianggarkan 50 juta orang terutamanya di Afrika dan Asia Barat akan menghadapi kebuluran dalam beberapa bulan akan datang. – UTUSAN










