PETALING JAYA: Ramai peniaga mengeluh berikutan bekalan ayam segar kehabisan stok sehingga menjejaskan perniagaan mereka.
Malah, bahan mentag berkenaan dikatakan habis di pasaran seawal pukul 8 pagi.
Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa pasar awam mendapati ramai yang terpaksa pulang dengan tangan kosong jika terlambat datang kle pasar-pasar basah.
Di Kangar, seorang pengguna Ahmad Muliady Abdul Majid yang keluar rumah pukul 7.30 pagi ke pasar bagi mendapatkan bahan mentah tersebut namun terpaksa pulang tangan kosong.
Dia pergi ke tiga lokasi iaitu kedai ayam di Seriab, Pasar Sena dan pasar pagi Titi Chai, namun semua peniaga memaklumkan ayam sudah habis.
“Jika pukul 8 pagi ayam sudah habis, memang melampaulah,”
“Apabila sampai di kedai ayam Seriab pada pukul 7.50 pagi, sudah ada notis yang memaklumkan semua ayam habis ditempah. Saya kemudian ke Pasar Sena dan pasar pagi Titi Chai dan mendapati semua bekalan ayam juga habis,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan peniaga-peniaga ayam segar di pasar-pasar utama di daerah ini menjangkakan mereka tidak akan beroperasi pada hari ini ekoran kekurangan bekalan ayam yang diperoleh mereka.
Masing-masing juga mengakui kekurangan bekalan tersebut ekoran terdapat ladang-ladang ayam utama yang menghentikan operasi dua hari bermula semalam.
Sementara itu, tinjauan di beberapa lagi pasar seperti Pasar Simpang Empat mendapati bekalan ayam habis terjual seawal pukul 9 pagi.
Seorang peniaga, Hikmal Md Yatim, 35, berkata, bekalan ayam yang diterima kurang dan pembekal tidak dapat membekalkan jumlah bahan mentah tersebut seperti yang ditempah.
“Kami minta ayam sebanyak 830 ekor daripada pembekal, tapi bila sampai hanya 730 ekor iaitu kurang 100 ekor daripada yang kami tempah malam sebelumnya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Rahmah Abdul,73, berkata, ayam cepat habis disebabkan ramai pelanggan yang bukan dari kawasan setempat datang membeli di pasar di sini.
“Kalau dulu, pukul 12 tengah hari pun masih ada ayam, tetapi sekarang pukul 9 pagi sudah habis terjual,” katanya.
Sementara itu, di Seremban, :beberapa peniaga ayam segar di pasar utama di daerah ini tidak menjalankan perniagaan mereka semalam berikutan isu kekurangan bekalan makanan tersebut.
Tinjauan di Pasar Besar Seremban mendapati, daripada enam buah peniaga ayam segar Melayu, hanya dua peniaga yang beroperasi.
Seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Razali berkata, kebanyakan peniaga ayam segar yang tidak beroperasi semalam adalah mereka yang mempunyai beberapa orang pekerja.
“Jika mereka berniagai pun tidak berbaloi malah mungkin rugi sahaja. Ayam memang tidak banyak malah bekalan yang sampai dari pembekal juga bersaiz kecil.” katanya.
Di Pasar Ampangan pula didapati daripada empat peniaga ayam segar di situ, satu daripadanya tidak menjalankan pekerjaan.
Bagaimanapun diperhatikan, bekalan ayam yang dijual berkurangan dan bersaiz lebih kecil berbanding kebiasaan dan kesemuanya habis dijual seawal pukul 9 pagi.-UTUSAN ONLINE