JOHOR BAHRU: Pemandu teksi rentas sempadan Malaysia-Singapura lega selepas perkhidmatan itu kembali dibenarkan beroperasi bermula hari ini setelah ditangguhkan sejak 18 Mac 2020 akibat penutupan sempadan kedua-dua negara.
Seorang pemandu teksi Johor Bahru (JB)-Singapura, Mazlan Ali, 52, berkata, dia bersyukur dan menganggap perkara itu sebagai rahmat Syawal apabila boleh mencari rezeki semula seperti sebelum pandemik Covid-19.
“Syukur Alhamdulillah, sudah dua tahun lebih kami tidak dapat beroperasi, namun bermula hari ini, kami dapat kembali berkhidmat yang kebetulan tarikhnya hampir sama dengan sambutan Aidilfitri, jadi saya lihat ini sebagai satu rahmat dalam meraikan kehadiran Syawal,” katanya ketika ditemui di Larkin Sentral, di sini hari ini.
Mazlan yang sudah menyediakan perkhidmatan itu sejak enam tahun lalu memberitahu, majoriti penumpang yang masih memilih teksi dan bukan bas untuk ke Singapura kerana perkhidmatan tersebut lebih selesa.
“Penumpang teksi tidak perlu bersesak jika dibandingkan dengan menaiki bas selain urusan mengangkut barangan dan juga imigresen lebih senang,” katanya yang akan terus bekerja pada sambutan 1 Syawal ini.
Sementara itu, seorang pemandu teksi warga Singapura, Hanif Mahbob, 69, pula memberitahu, kebenaran teksi rentas sempadan disambut baik pemandu teksi warga republik itu yang turut menyara hidup dengan membawa teksi.
Katanya, dia amat gembira kerana dapat kembali merentas sempadan dan memasuki Johor kerana selain bekerja mencari rezeki, dia juga berpeluang bertemu dengan ramai rakan-rakan yang sudah terpisah sejak dua tahun lalu.
“Selama dua tahun ini saya hanya memandu teksi di Singapura, jadi apabila dapat masuk ke Malaysia kembali saya rasa teruja.
“Menyediakan perkhidmatan teksi rentas sempadan ini tidak sama dengan memandu teksi di dalam bandar raya, kerana ia lebih santai dan menenangkan,” katanya yang menjadi pemandu teksi sejak 38 tahun lalu.
Dalam pada itu, Penyelaras Operasi Teksi JB-Singapura, Mohd. Ridzuan Mohd. berkata, terdapat seramai 180 pemandu teksi yang berdaftar untuk menyediakan perkhidmatan teksi rentas sempadan JB-Singapura.
“Memang kami gembira dengan kebenaran beroperasi kembali ini kerana ini adalah mata pencarian mereka, namun buat masa ini masih banyak teksi yang belum dapat memberi perkhidmatan itu kerana mereka perlu selesaikan urusan permit kenderaan dengan pihak berkuasa Singapura terlebih dahulu.
“InshaAllah selepas beberapa bulan perkhidmatan ini akan kembali beroperasi sepenuhnya seperti sedia kala, seperti sebelum pandemik Covid-19 lalu,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE