Pemain Man. City akan dikenang sepanjang zaman - Guardiola

Pemain Man. City akan dikenang sepanjang zaman – Guardiola

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Pengendali Manchester City, Pep Guardiola menyifatkan para pemainnya yang menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris adalah legenda kerana melakukan kebangkitan luar biasa menang 3-2 ke atas Aston Villa untuk mengesahkan gelaran pada hari terakhir musim.

Dalam aksi terakhir menentang Aston Villa kelmarin, anak-anak buah Guardiola awalnya mungkin terlepas gelaran kepada pasukan di tangga kedua, Liverpool apabila skuad kendalian Steven Gerrard membuat kejutan mendahului 2-0 sehingga babak kedua di Stadium Etihad.

Keputusan Guardiola membawa masuk pemain tengah Jerman, Ilkay Gundogan ternyata tepat apabila pemain tersebut mencetuskan kebangkitan The Citizens apabila menjaringkan dua gol dalam perlawanan berkenaan selain satu gol lagi dihasilkan oleh Rodri.

Kebangkitan luar biasa itu memberikan gelaran keempat buat City dalam tempoh lima musim apabila mereka menamatkan saingan satu mata di hadapan Liverpool, sekali gus meranapkan impian The Reds untuk mencipta sejarah merangkul empat gelaran pada musim ini.

“Mereka adalah legenda yang perlu diiktiraf. Apabila anda menang empat kali dalam lima tahun di negara ini, ia adalah kerana pemain ini memang istimewa. Mereka akan dikenang sepanjang zaman dan akan menjadi sebutan,” kata Guardiola.

“Perlawanan terakhir ini sangat istimewa. Penuh emosi apabila menentang pasukan Aston Villa yang bagus. Kami tidak bermain dalam situasi biasa. Kami mampu menanganinya.

“Selepas lawan menjaringkan gol kedua, keadaan makin sukar. Kami mahu mendapatkan gol pertama dan kami meneruskan momentum sebelum pemain melakukannya dengan baik sekali.

“Gundogan adalah pelari terbaik yang kami miliki. Selepas menyamakan kedudukan, kami yakin mampu menjaringkan gol lagi. Memang di tempat sendiri dan di depan penonton adalah sesuatu yang sangat istimewa,” kata Guardiola.

Sementara itu, Guardiola juga percaya bahawa peasukannya berhak diiktiraf sebagai antara paling hebat dalam sejarah bola sepak Inggeris ketika ini berdasarkan pencapaian merangkul empat kejuaraan liga dalam tempoh lima musim.

Sebelum ini, hanya Manchester United ketika era Alex Ferguson memenangi gelaran sebanyak itu dalam tempoh lima tahun. – AGENSI – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN