KUANTAN: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) sedia membantu menyelesaikan isu rantaian bekalan ayam yang ketika ini dikuasai oleh kartel dianggotai syarikat-syarikat swasta yang hanya memikirkan soal keuntungan berlipat kali ganda semata-sama.
Difahamkan, kartel terbabit sanggup melakukan apa sahaja termasuk menghapuskan anak-anak ayam yang dihasilkan mereka, dipercayai bagi ‘memboikot’ tindakan lambat kerajaan membayar subsidi harga ayam 60 sen.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Zamri Yaakob berkata, selagi isu monopoli itu tidak ditangani, negara akan terus berdepan masalah kekurangan bekalan ayam.
Akhirnya, kata beliau, hasrat kerajaan membantu meringankan beban kenaikan harga barangan dihadapi golongan berpendapatan rendah (B40) dan menyediakan bahan makanan kepada rakyat dengan harga berpatutan tidak akan dapat diselesaikan.
UNTUNG LEBIH
“Siapa yang sorok ayam, siapa yang hapuskan ayam. Semua mereka buat, ini dilakukan kerana mereka hendak cari untung lebih.
“Jadi, sudah sampai masanya kerajaan hapuskan kartel, tamatkan penguasaan syarikat-syarikat swasta dan kita hasilkan sendiri dengan menyerahkan tanggungjawab itu kepada Nafas.
“Setiap bulan RM400 juta subsidi ditanggung kerajaan untuk ayam dan telur ayam. Serah kepada Nafas, kita mempunyai rangkaian 227 pertubuhan peladang kawasan (PPK) seluruh negara dan 14 pertubuhan peladang negeri (PPN) dengan satu juta keahlian.
“Kita juga ada kilang memproses ayam, kilang proses makanan ayam, kilang menghasilkan baka dan benih ayam. Kita mempunyai cukup pengalaman dan dengan rangkaian yang ada, kita akan kembangkan di seluruh negara dan mengeluarkan dua ke tiga juta ayam sebulan,” katanya di sini semalam.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan bahawa, kartel didakwa menipu pihak berkuasa dengan memberi alasan berlaku masalah ‘tumbesaran ayam’ untuk menutup operasi ladang antara dua hingga tiga hari bermula semalam.
Walaupun setakat ini, hanya empat syarikat penternak dilaporkan menghentikan operasi, syarikat lain di seluruh negara juga dijangka bakal menyertai ‘konspirasi’ itu.
Ini dipercayai bagi memberi tekanan kepada kerajaan susulan bayaran subsidi harga ayam 60 sen yang didakwa lewat.
Tindakan penutupan operasi ladang menjejaskan jualan ayam dan tinjauan di beberapa buah negeri semalam mendapati peniaga dan pembeli mula mengeluh kerana kekurangan bekalan.
Malah ada pelanggan yang terpaksa memikirkan semula untuk menyediakan juadah jamuan raya susulan masalah bekalan ayam di pasaran.
PERUNTUKAN
Mengulas lanjut, Zamri berkata, sudah sampai masanya kerajaan memberikan peruntukan besar kepada Nafas untuk menguruskan soal pengeluaran ayam negara sekali gus mengatasi masalah rantaian bekalan yang kerap berlaku.
“Nafas harap kerajaan dapat memberikan geran kepada Nafas. Jika kerajaan boleh memberikan geran kepada agensi sehingga berjumlah RM250 juta, Nafas juga perlu diberikan geran.
“Selama ini, Nafas telah banyak membantu kerajaan antaranya kita mengeluarkan baja. Jadi saya harap pimpinan baharu negara diterajui Datuk Seri Ismail Sabri yang pernah menjadi Menteri Pertanian melihat perkara ini secara serius,” katanya.
Beliau berkata, apa yang penting, penguasaan kartel dan syarikat-syarikat swasta yang hanya memikirkan keuntungan semata-mata dapat dihapuskan sekali gus menjamin bekalan ayam negara pada masa depan. – UTUSAN










