KUALA LUMPUR : Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhak memegang jawatan sebagai Presiden UMNO selagi tidak dijatuhkan hukuman bersalah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, selagi beliau belum didapati bersalah, selagi itulah beliau boleh memegang tampuk kepimpinan parti dan menentukan hala tuju UMNO.
“Pada saya tiada masalah untuk beliau memegang jawatan Presiden sebab belum dijatuhkan hukuman bersalah. Mengikut undang-undang, dia masih tidak bersalah.
“Walaupun kita bersih macam mana pun, kalau kita ini musuh, dia tetap akan kata kita ini kotor,” katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Agung Khas UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), semalam.
Ditanya adakah ia memberi gambaran negatif dengan meletakkan Ahmad Zahid sebagai Presiden kerana terpalit dengan isu mahkamah, Tengku Razaleigh berkata, ia terpulang kepada penilaian masing-masing.
“Itu terpulang kepada rakyat siapa nak kata positif, siapa nak kata tak negatif,” ujarnya.
Semalam, Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakob berkata, UMNO akan dilihat lebih bersih jika individu selain daripada Ahmad Zahid mengetuai parti itu.
Katanya, kes mahkamah yang sedang dihadapi Ahmad Zahid memberi gambaran negatif terhadap parti itu.
“Cuma pada saya, kedudukan Ahmad Zahid sekarang ini tidaklah memberi kesan besar kepada pilihan raya umum (PRU) nanti sebab waktu Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor, secara jelas BN mendahului parti politik yang lain,” katanya.
Bagaimanapun, jelas Mustapha lagi, pemilihan parti UMNO tidak boleh diadakan sekarang bagi menukar kedudukan Ahmad Zahid kerana bimbang perpecahan yang kritikal boleh berlaku. – UTUSAN










