MANCHESTER: Pengendali sementara Manchester United, Ralf Rangnick mengakui gagal membentuk semangat berpasukan dalam kalangan pemain The Red Devils.
Rangnick berkata, faktor berkenaan menjadi kekecewaan terbesarnya sepanjang bersama United dan ia menjadi punca utama kepada prestasi tidak menentu Red Devils dalam saingan Liga Perdana.
Jurulatih kelahiran Jerman yang menggantikan Ole Gunnar Solskjaer pada November lalu itu mengemudi United buat kali terakhir semalam sebelum tempatnya akan digantikan Erik Ten Hag.
Menurut Rangnick, beliau percaya para pemain United hilang keyakinan selepas disingkir pencabar sensasi dari La Liga Sepanyol, Atletico Madrid dalam pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara.
“Kami telah berusaha sebaik mungkin untuk menstabilkan semula pasukan selepas kekalahan kepada Atletico Madrid, dan kini nampaknya bahagian pertahanan kian stabil.
“Sejujurnya sejak tewas kepada Atletico Madrid, kami tidak menemui gaya permainan kelab yang sebenar. Saya melihat semua ini ada kaitan dengan keyakinan, semangat berpasukan dan kebersamaan.
“Ya, ini adalah kekecewaan terbesar saya kerana kami tidak mewujudkan semangat berpasukan itu,” kata Rangnick yang sebelum ini mengetuai bahagian sukan dan pembangunan kelab Rusia, Lokomotiv Moscow. – AGENSI – UTUSAN










