PETALING JAYA: Malaysia belum sepenuhnya meratifikasikan beberapa protokol Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dalam sektor pekerjaan antaranya Konvensyen 98 yang menyentuh hak pekerja untuk berpersatuan dan perjanjian bersama.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor berkata, kerajaan perlu mewujudkan dasar setiap syarikat dimestikan mempunyai kesatuan untuk mewakili pekerja.
“MTUC mahukan tindakan segera daripada kerajaan untuk mewujudkan dasar setiap syarikat dimestikan mempunyai kesatuan untuk mewakili pekerja.
“Pekerja boleh memilih untuk diwakili oleh kesatuan atau sebaliknya. Perundingan Perjanjian Bersama tidak lagi melalui proses yang rumit dan panjang, sebaliknya secara automatik diberikan kepada kedua-dua pihak untuk berunding,” katanya semalam.
Menurut Kamarul, kerajaan juga perlu menghapuskan sistem kontrak dalam pekerjaan kerana ia bersifat zalim dan menafikan hak pekerja.
“MTUC tidak mahu status pekerjaan dijadikan ugutan kepada pekerja kontrak. Kerajaan juga perlu menghapuskan sistem pelantikan kontraktor dalam pekerjaan yang diperlukan secara berterusan seperti kontrak pembersihan dan pengawal keselamatan. Golongan bawahan ini bekerja untuk kelangsungan kehidupan.
“MTUC mendesak kerajaan untuk mendengar permintaan daripada pekerja. Kerajaan perlu ambil peduli tentang keluhan dan rintihan mereka. Pekerja adalah pemacu ekonomi negara.
“Keterlibatan MTUC sebagai pusat buruh kebangsaan dalam apa juga keputusan melibatkan pekerja adalah kemestian bagi mengelakkan konflik,” jelasnya. – UTUSAN










