Langkah atasi krisis ringgit berjaya atasi ketidaktentuan mata wang -Tun M - Utusan Malaysia

Langkah atasi krisis ringgit berjaya atasi ketidaktentuan mata wang -Tun M

DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjelaskan langkah kerajaan menangani krisis ringgit pada 1997 telah berjaya menghentikan ketidaktentuan mata wang negara walaupun dikecam hebat.

Menurut Ahli Parlimen Langkawi itu, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia akhirnya mengakui tindakan itu telah berjaya menghentikan ketidaktentuan nilai Ringgit dan kemiskinan yang berlaku akibat kesan masalah tersebut.

Beliau menjelaskan tindakan itu diambil kerajaan pimpinannya demi menyelamatkan ekonomi negara daripada terus merosot sehingga menjejaskan ekonomi negara dan kehidupan rakyat.

“Saya takut memberi pandangan saya terhadap nilai ringgit kerana saya akan diketawa pakar kewangan. Tetapi walaupun saya akan diketawa orang, saya memberanikan diri memberi pendapat saya berkenaan duit Ringgit kita yang naik turun nilainya. 

“Pendapat saya didapati semasa menangani krisis mata wang pada 1997-1998. Walaupun tindakan Malaysia dikecam hebat, tetapi ia berjaya menghentikan ketidaktentuan nilai ringgit dan kewangan kita dipulih semula. 

“Akhirnya pihak IMF dan Bank Dunia mengakui bahawa tindakan Malaysia berjaya menghentikan ketidaktentuan nilai Ringgit dan kemiskinan yang berlaku kerananya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 1997, kadar tukaran ditetapkan pada RM3.80 bagi setiap dolar AS, sebagai langkah terhadap kawalan tukaran asing berpilih bagi mengekang tekanan luar yang menyebabkan ekonomi negara terjerumus ke dalam kemelesetan.

Bagaimanapun pada 21 Julai 2005, kerajaan memansuhkan tambatan ringgit dan nilai ringgit kemudiannya ditentukan dengan mengapungkannya secara terurus berbanding sekumpulan mata wang asing terpilih.

Bank Negara Malaysia semalam meletakkan ringgit pada RM4.3795 berbanding dolar AS apabila pelbagai pihak meramalkannya dilihat hanya bersifat sementara dan banyak dipengaruhi ketidaktentuan faktor luaran, bukannya di­sebabkan asas nilai ringgit itu sendiri.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata apabila nilai ringgit jatuh, maka, peminjam atau peniaga akan rugi apabila perlu bayar dengan lebih banyak apabila mata wang itu jatuh nilai.

Beliau menjelaskan, sekiranya pihak terlibat meminjam RM1,000 diwaktu nilainya tinggi namun apabila nilai jatuh 50 peratus, mereka mesti bayar hutang atau harga belian asal dengan RM2,000.

“Maka, rugilah peminjam atau peniaga, sementara peniaga mata wang untung RM1,000 kerana diwaktu pinjam RM1,000 cukup untuk kos tetapi diwaktu nilai Ringgit jatuh 50 peratus, lebih banyak Ringgit diperlukan. 

“Inilah yang berlaku pada 1997 dan 1998 diwaktu mana nilai Ringgit jatuh kerana peniaga mata wang menjual banyak Ringgit yang bukan pun dimiliki oleh mereka. Harapan mereka ialah apabila nilai Ringgit jatuh, mereka boleh beli Ringgit murah ini untuk dibekal kepada pembeli asal,” katanya.

Menurut beliau, setelah kerajaan menetapkan nilai Ringgit pada RM3.80 pada satu Dollar dan dijamin bekalan Dollar kepada sesiapa yang sanggup membayar RM3.80 untuk satu Dollar, maka nilai Ringgit tidak lagi akan turun naik. 

Justeru, katanya, para peniaga mata wang pun tidak dapat turunkan nilai Ringgit dengan menjual Ringgit dengan banyaknya untuk jatuhkan nilainya.

Sementara itu, Dr. Mahathir menambah, nilai Ringgit kini naik turun kerana nilainya tidak ditetapkan dan dijamin kerajaan manakala dagangan Malaysia melonjak naik dimana ianya menyumbang kepada ekonomi negara. 

“Tetapi di masa wabak Covid-19 nilai Ringgit tidak stabil. Ada masa ia naik dan ada masa ia menurun. Bagi peniaga import bahan dengan Dollar atau meminjam Dollar, jatuhnya nilai Ringgit berbanding Dollar meningkatkan Ringgit kos pengeluaran dan harga pasar produk.

“Ini kerana kenaikan ini harga baru jualan perlu ambil kira nilai Ringgit berbanding dengan dolar Amerika.

“Tetapi, jangan cakap berkenaan fixed exchange rate. Ini taboo, haram. Ya. Pada 1997-8, fixed exchange rate selamatkan kita. Tetapi itu kerana orang politik tidak faham sistem kewangan. Jangan ikut mereka,” tegasnya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya