KKM perluaskan penggunaan Paxlovid - Utusan Malaysia

KKM perluaskan penggunaan Paxlovid

ISMAIL Sabri Yaakob menerima buku Inisiatif Malaysia Hidup Bersama Covid-19 daripada Khairy Jamaluddin (dua kanan) pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri KKM di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) bersetuju mengagihkan Paxlovid iaitu ubat antiviral Covid-19 ke hospital swasta, klinik swasta dan hospital pengajar supaya penggunaannya dapat diperluaskan. 

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, berdasarkan laporan diterima, pesakit yang diberikan ubat tersebut pulih dan sembuh daripada Covid-19 dan setakat ini, ia sangat berkesan. 

“Sejak semalam, kita telah berikan seramai 405 pesakit Covid-19 dengan ubat Paxlovid. Justeru, saya telah minta kita tingkatkan lagi dan sebelum ini, penggunaannya agak terhad hanya bagi mereka berisiko tinggi. 

“Cuma, sekarang masih lagi tumpu kepada mereka yang berisiko tinggi tetapi kumpulan yang hendak diberi itu telah diperbesarkan. Kita banyak bagi kepada klinik kesihatan dan bukan hospital kerana ia mesti diambil selewat-lewatnya lima hari selepas menunjukkan gejala bagi mengelakkan masuk ke hospital,” katanya pada sambutan Hari Raya Aidilfitri KKM di sini hari ini. 

Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang meluangkan masa kira-kira setengah jam pada majlis sambutan hari raya tersebut dan menerima buku Inisiatif Malaysia Hidup Bersama Covid-19.

Dalam pada itu, beliau berkata, secara keseluruhan, kadar kebolehjangkitan RT menurun kepada 1.04, manakala kematian Covid-19 merekodkan satu angka walaupun terdapat peningkatan kemasukan ke hospital, namun, untuk kategori satu dan dua melibatkan warga emas dan individu dengan komorbid.  

“Dari segi jangkitan, walaupun ada sedikit peningkatan, tetapi itu sesuatu yang telah dijangkakan sebab lebih banyak majlis dan pergerakan manusia, jadi kes akan meningkat. 

“Bagaimanapun dari segi keseriusan kes tidaklah mengalami peningkatan mendadak untuk kemasukan hospital dan pengguna Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya.

 Sementara itu, Khairy menjelaskan, KKM melihat kepada keseriusan kes dan bukan tertumpu kepada bilangan kes Covid-19 semata-mata.

“Kalau kes banyak tetapi keseriusan rendah, maksudnya tak ramai masuk hospital, tak ramai meninggal dunia dan tak ramai perlukan ICU. Maknanya kita boleh hidup dengan virus ini. 

“Kita buat keputusan untuk hidup bersama Covid-19 dan kita kena terima hakikat akan berlaku gelombang jangkitan dari semasa ke semasa. Bilangan jangkitan akan pasang surut, dia akan naik sekejap dan turun sekejap, naik balik dan turun balik. 

“Jadi, keadaan sekarang adalah begitu dan kalau sekiranya ada varian baharu yang cepat merebak dan mengganas dari segi kesannya, maka, kita kena mengambil tindakan berbeza. Setakat ini, gelombang bilangan kes pasang surut dan keseriusan rendah, maka, saya percaya boleh teruskan peralihan kita,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya