KUANTAN: Pahang merekodkan peningkatan jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) sebanyak 1,145 kes sehingga 7 Mei, tahun ini.
Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Nor Azmi Yunus berkata, jumlah kes itu meningkat enam kali ganda berbanding tahun lalu yang hanya membabitkan 190 kes pada tempoh sama.
Menurutnya, kes HFMD banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak baru lahir sehingga berusia enam tahun iaitu 1,093 kes bersamaan 95.4 peratus.
“Ia diikuti okeh kumpulan usia tujuh hingga 12 tahun iaitu sebanyak 43 kes dengan 3.8 peratus dan sebanyak sembilan kes dengan peratusan 0.8 peratus berlaku dalam individu berusia lebih 12 tahun.
“Daripada 1,145 kes, 138 kes dengan 12.1 peratus adalah kes yang dikenal pasti berlaku hasil penularan di taska, tadika atau pra sekolah manakala 1,007 iaitu 87.9 peratus kes adalah berlaku secara sporadik,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mengulas lanjut, Dr. Nor Azmi berkata, penyakit tersebut merupakan penyakit berjangkit yang boleh menjangkiti semua peringkat usia terutama kanak-kanak yang berusia lima tahun dan ke bawah.
“Virus ini boleh merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh (blister) dan najis pesakit. Kebiasaan jangkitan adalah ringan (mild) dengan gejala demam diikuti ruam melepuh (blister) pada tangan, kaki, mulut dan lidah.
“Hampir keseluruhan pesakit yang menghidap penyakit HFMD pulih tanpa rawatan dalam masa tujuh ke 10 hari. Walau bagaimanapun, jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti encephalitis, pulmonary edema dan myocarditis,” katanya.
Sementara itu, katanya, orang ramai perlu mengambil langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko jangkitan seperti membasuh tangan dengan sabun dan air bersih selepas menggunakan tandas, sebelum menyediakan makanan, selepas menukar lampin dan mencuci najis kanak-kanak.
“Selain itu, hendaklah sentiasa mengekalkan kebersihan di rumah dan persekitaran selain tutup mulut dan hidung semasa batuk dan bersin.
“Jangan berkongsi pakaian, tuala, perkakas, makanan dan minuman serta alat mainan anak dan bawalah anak-anak ke klinik atau hospital terdekat jika mereka mempunyai tanda-tanda atau gejala jangkitan,” katanya.
Tambah beliau, pengusaha dan penjaga di taska, tadika, tabika atau pra-sekolah dinasihatkan sentiasa memastikan kebersihan premis terutama peralatan dan perkakasan yang digunakan oleh kanak-kanak.
“Pengusaha dan penjaga juga perlu sentiasa membuat saringan di pintu masuk bagi memastikan kanak-kanak tiada tanda-tanda jangkitan HFMD.
“Kanak-kanak dengan gejala tidak perlu hadir sama ada ke pusat jagaan atau sekolah bagi mengelakkan jangkitan kepada kawan-kawannya,” katanya. – UTUSAN