Isu sembelihan: 'Abdullah’ diminta hubungi Jakim - Utusan Malaysia

Isu sembelihan: ‘Abdullah’ diminta hubungi Jakim

IDRIS AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kini sedang menjejaki lelaki dikenali ‘Abdullah’ iaitu individu penting yang mendedahkan isu loji penyembelihan halal di Australia baru-baru ini. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, individu itu perlu tampil ke hadapan bagi membantu siasatan isu berkenaan. 

Beliau berkata, pegawai Jakim sudah pun berjaya menghubungi lelaki itu sebelum ini bagi mendapatkan maklumat lanjut. 

“Bagaimanapun, lelaki itu memaklumkan akan menghubungi semula pegawai Jakim berkenaan, namun, sehingga kini membisu dan gagal dihubungi. 

“Saya turut meminta Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) untuk menghubungi lelaki itu kerana ia penting bagi memastikan siasatan lebih telus berhubung isu berkenaan. 

“Saya juga difahamkan, Abdullah itu bukan menggunakan nama sebenar, namun kami faham mungkin untuk keselamatan dia,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran aplikasi digital Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) atau DiYa, hari ini. 

Sebelum ini, seorang bekas pekerja sebuah rumah penyembelihan di Australia membuat pengakuan secara terbuka yang mendakwa ada bukti rakaman video cara sembelihan haiwan di situ yang melanggar protokol adalah benar sebagaimana didedahkan Utusan Malaysia sejak 14 April lalu.

Susulan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) memutuskan untuk menggantung lesen loji sembelihan Thomas Foods International Lobethal di Australia susulan isu penyembelihan yang meragukan itu sehingga satu hasil siasatan menyeluruh diperoleh. 

Malah, Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc. (SICHMA) selaku badan pensijilan halal yang bertanggungjawab dalam penyeliaan halal ke atas loji sembelihan itu pula akan diberi surat tunjuk sebab. 

SICHMA juga bakal berdepan kemungkinan untuk dibatalkan status sebagai badan pensijilan halal Jakim jika didapati tidak mematuhi keperluan standard dan prosedur halal Malaysia.

Idris pada masa sama berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak sekiranya wujud pelanggaran integriti dalam isu berkenaan dan bersedia untuk mengambil tindakan undang-undang.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya